UMNO Bera Konsisten Dengan Pendirian Parti ‘No Dap, No PKR’

BERA, 6 Dis – UMNO Bera kekal dengan pendirian sebelum ini sepertimana yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO berhubung kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 15 akan datang.

Naib Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata apa yang diambil oleh UMNO bahagian berkenaan adalah menolak kerjasama dengan Dap serta PKR dan kekal bekerjasama dengan parti politik sepertimana hari ini.

‘’Bera ‘ready’ untuk menghadapi pilihan raya dan pelbagai persediaan telah dibuat. Apa sahaja keputusan kita tidak akan bersama dengan Dap serta PKR selaras dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Bera konsisten ‘no Dap no PKR.

‘’Jika ada sebarang keputusan yang berbeza dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi ianya perlu di bawa ke mesyuarat MT dan diputuskan semula,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Bengkel Naratif Kempen yang turut disertai Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan di sini, hari ini.

Tambah Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera apa yang dilakukan hari ini dengan kerjasama Penerangan UMNO adalah satu langkah yang baik khususnya dalam konteks kempen selaras dengan senario serta suasana semasa.

‘’Apa yang dilakukan hari ini amat baik. Kempen tradisi konvensional diteruskan dengan sasaran tertentu selain kempen menerusi media sosial dengan kumpulan serta sasaran yang ditetapkan. Insya-Allah apa yang penting perkara yang hendak dibawa dapat disampaikan kepada rakyat,’’ ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.