Politik Perak, Apa Juga Keputusan UMNO Negeri Ambil Kira Kepentingan Rakyat – Saarani

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad memaklumkan bahawa apa jua keputusan parti berhubung penubuhan kerajaan negeri perlu mengambil kira kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan berkata demikian hasil daripada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang berlangsung malam tadi bagi membincangkan perkembangan senario politik Perak.

“Mesyuarat mengambil ketetapan bahawa apa jua keputusan parti berhubung penubuhan kerajaan negeri perlu mengambil kira kepentingan rakyat termasuk situasi negara yang sedang berdepan pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, mesyuarat juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas khidmat sebagai menteri besar bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Perak.

Kemelut politik Perak tercetus pada Jumaat lepas selepas pembentangan usul ‘keyakinan ADUN terhadap menteri yang menyaksikan Ahmad Faizal kehilangan sokongan majoriti ADUN.

Semalam, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang dilaporkan berkata beliau telah mempersembahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri besar dan juga barisan Exco kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin hari ini dipetik bertitah memperkenankan peletakan jawatan Ahmad Faizal dan barisan Exco negeri itu.
DUN Perak merangkumi 25 ADUN BN yang kesemuanya daripada UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.