i-Sinar KWSP: Apa Beza Kriteria Dengan Syarat? Cukuplah Berdolak Dalih – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendirian tidak perlulah ada sebarang penetapan kriteria untuk pengeluran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Sinar kepada pencarum.

Tegas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pemuda UMNO telah menerima bukan ratusan tetapi ribuan maklum balas rakyat yang benar-benar susah dan tertekan berikutan keadaan luar biasa pandemik COVID-19.

“Diharapkan pihak KWSP segera hentikan dolak-dalih dan berpolemik dengan istilah kriteria untuk mengaburi rakyat dengan dakwaan tiada bersyarat. Permudahkan, usah menyulitkan urusan rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian berikutan penjelasan KWSP bahawa i-Sinar tidak bersyarat dan hanya meletakkan kriteria permohonan.

Dalam hal ini, Dr Asyraf merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu ‘kriteria’ bermaksud: ‘Kriteria yang ditetapkan secara formal dalam perjanjian pembekalan sebagai memenuhi syarat kesempurnaan perkhidmatan.’

“Jadi apa sebenarnya maksud pihak KWSP yang bermain dengan kata-kata kononnya i-Sinar tidak bersyarat tetapi menetapkan kriteria untuk mengimbangi mandat KWSP melindungi simpanan ahli untuk masa persaraan mereka?” soal beliau lagi.

Justeru Pemuda UMNO bertegas agar tiga cadangan yang dikemukakan sebelum ini, harus dilakukan segera oleh pihak KWSP bagi mempermudahkan urusan pengeluaran wang simpanan pencarum melalui i-Sinar:

(i) Memansuhkan segala syarat mahupun KRITERIA yang menyusahkan pencarum yang ingin mengeluarkan wang simpanan mereka;

(ii) Mengurangkan karenah birokrasi dengan menyingkatkan tempoh untuk pemohon menerima bayaran pertama daripada 3 bulan kepada maksimum 1 bulan.

(iii) Memberikan pilihan kepada Ahli KWSP untuk mengeluarkan maksimum RM10,000 sekaligus (one-off) setelah permohonan diluluskan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.