Ahmad Zahid Menghadap Sultan Nazrin

IPOH, 6 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Kinta di sini pagi ini, dipercayai untuk menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menyembah maklum pendirian parti berhubung kemelut terkini politik negeri itu.

Kenderaan membawa beliau dilihat memasuki pintu masuk Istana Kinta pada 9.47 pagi tadi.

Malam tadi, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menghadiri mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Perak di sini.

Kemelut politik negeri ini bermula selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu, gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul keyakinan ADUN terhadap menteri besar yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lepas.

Dalam undian sulit yang dijalankan, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.