Politik Perak, UMNO Tidak Boleh Dipersalahkan – Puad

KUALA LUMPUR, 5 Dis – UMNO tidak boleh dipersalahkan dengan apa yang berlaku di DUN Perak sebaliknya salahkan diri sendiri kalau mahu mencari salah.

Demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkaitan isu politik Negeri Perak selepas Ahmad Faizal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN, semalam.

Katanya, UMNO sudah membuktikan setiakawan dua kali apabila membenarkan Ahmad Faizal jadi MB semasa zaman Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) memerintah.

“Tapi apabila pentadbiran Kerajaan Negeri dan hubungan dengan istana tambah teruk maka terimalah padahnya.Semuanya berlaku secara demokratik dan sah. Diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri. Pertukaran hanya untuk jawatan MB.

“PAS mesti terbuka dengan apa yang berlaku sebagaimana UMNO terbuka apabila PAS menyertai PN secara rasmi. Kerjasama politik UMNO-PAS mesti dipertahankan.
PPBM memang pecah rekod lagi. Pertama kali MB hilang jawatan melalui ‘usul undi percaya’. Rupanya tidak dipercayai,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Semalam, dalam sidang DUN Perak, usul undi percaya dibawa oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manap Hashim yang menyaksikan Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN apabila hanya menerima 10 undi menyokong manakala 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.
DUN Perak merangkumi 25 ADUN (BN) yang kesemuanya daripada UMNO, 16 (Dap), Bersatu (lima), Amanah (lima), PKR (tiga), PAS (tiga), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Ahmad Faizal dilantik semula menjadi Menteri Besar Perak menerusi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk melalui mandat 32 ADUN pada 13 Mac lalu setelah Bersatu keluar daripada PH. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.