Politik Perak Bukan Hasrat Runtuhkan Kerajaan PN, Yang Mahu Ditukar Hanya MB – Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa situasi politik yang berlaku di Perak melalui undi percaya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diputuskan oleh ahli-ahli DUN yang bukan berhasrat untuk meruntuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri terbabit sebaliknya mengekalkan kerajaan yang ada.

Katanya, undi percaya yang telah terhasil ialah 48 yang tidak menyokong, 10 yang menyokong undi percaya dan seorang berkecuali itu adalah suara hati ahli-ahli DUN Perak.

“Yang mahu ditukar hanyalah individu yang menjadi Menteri Besar (MB) Perak sahaja tetapi kerajaan PN tetap mahu diteruskan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengakui pernah beberapa kali bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku MB Perak sebelum ini.

“Saya sebagai Pengerusi BN tentunya mencari beberapa jalan dan ikatan yang terbaik agar suasana dan kedudukan politik di Perak itu dimantapkan.

“Yang berlaku di Perak melalui undi percaya di dalam DUN pada hemat saya diputuskan oleh ahli-ahli DUN bukan berhasrat untuk meruntuhkan kerajaan PN di Perak sebaliknya untuk mengekalkan kerajaan yang ada.”

Terdahulu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung parti, UMNO berpendirian bahawa kerajaan PN di Perak mestilah dikekalkan dengan semua barisan EXCO Kerajaan Negeri juga mesti diteruskan serta berpendirian bahawa PPBM dan PAS harus bersama mendokong Kerajaan PN Negeri Perak

“Kenyataan rasmi SUA UMNO ini adalah ekoran dari kenyataan yang dikeluarkan oleh SUA PAS dan juga SUA Bersatu,” jelas Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Beliau berkata demikian dalam wawancara santai yang disiarkan secara langsung menerusi laman facebook Amir Hijaz Fans, malam tadi.

Dalam segmen ini, Zahid turut ditanya berkaitan agihan kerusi untuk pilihan raya dan persediaan UMNO untuk mendepaninya.

Jelas Zahid, haba atau suhu pilihan raya kadang-kadang panas dan kadang-kadang sejuk tetapi sebagai parti politik, kesiapsiagaan itu harus ada terutamanya dari segi jentera dan dokongan ahli-ahli parti.

“Soal pembahagian kerusi dalam PN dan Muafakat Nasional (MN), kami telah bersetuju jawatankuasa perundingan kerusi ini memuktamadkan dengan segera namun pegangan UMNO dan BN ialah kerusi-kerusi Parlimen atau DUN yang dimenangi UMNO/BN mesti terus dipertahankan dan kami menjadikan itu sebagai keputusan parti.

“Dalam soal ini kita ketepikan sama ada seseorang ahli Parlimen atau ADUN itu telah melompat keluar dari BN tetapi kerusi-kerusi itu bukan dimenangi oleh mereka secara individu. Mereka menang kerusi itu mewakili UMNO/BN maka kerusi itu jika kosong nanti dan ada penamaan calon… maka kerusi itu menjadi hak kepada BN. Ini cukup jelas dan saya letakkan noktah di situ sebagai keputusan parti yang tegas.

“Kita tahu dalam sistem demokrasi atau sistem berparlimen di Malaysia tidak ada undang-undang anti lompat dan ini adalah cabaran kita. Kemenangan atas BN maka adalah menjadi hak kepada BN yang menjadi calon untuk pilihan raya yang akan datang,” ujarnya.

Sebelum itu, beliau turut menjelaskan berkaitan sokongan BN terhadap PN dan juga kedudukan dalam MN bersama PAS.
“Memang benar UMNO dan BN berada dalam kerajaan PN tetapi kita mengambil pendekatan bahawa, oleh kerana kita sudah mempunyai parti gabungan maka UMNO, MCA, MIC dan PBRS terus kekal dalam BN namun menyokong PN sementaran PAS mengambil pendekatan yang lain kerana mereka menjadi rakan kongsi PN dan berada sebagai ahli yang mewujudkan PN. Itu saja perbezaannya namun matlamat UMNO dan PAS adalah sama, maka sebab itulah cadangan Majlis Presiden mesti diadakan.”

Dalam masa yang sama, Zahid turut menzahirkan harapan kepada rakyat khususnya ahli-ahli UMNO untuk mendepani masa hadapan.

“Kita mesti bersolidariti, maknanya kita mesti bersatu padu. Solidariti ini cukup penting… dan yang kedua kita mesti mesti bekerja dengan penuh bijaksana dan bersemangat.

“Yang ketiga kita mesti beristiqamah yang ertinya kita mesti konsisten di dalam menterjemahkan segala komitmen yang telah kita buat.

“Keempat kita jangan bantu rakyat secara bermusim kerana tidak ada hari yang kita tidak berikan bantuan atau berkhidmat kepada rakyat yang akhirnya rakyat selepas ini buatlah perubahan, kembalilah kepada kami dan insya-Allah kesilapan yang lalu kita perbaiki… insya-Allah dengan imej baharu, semangat baharu dan dengan perubahan-perubahan yang dilakukan UMNO akan kembali dominan bersama-sama rakan-rakan dalam BN dan bersama-sama rakan-rakan kongsi kita yang baharu untuk kita menghadapi PRU ke-15 nanti,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.