PKPB Di Beberapa Negeri Ditamatkan Untuk Elak Impak Ekonomi – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Susulan pengurangan kes jangkitan COVID-19 di beberapa negeri, kerajaan hari ini membuat keputusan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa buah negeri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu dilakukan setelah mempertimbangkan impak semasa dan jangkaan kesan terhadap pemulihan ekonomi yang terpaksa dihadapi sekiranya PKPB terus dilaksanakan.

“Dijangkakan KDNK negara akan kerugian sebanyak RM300 juta sehari jika PKPB terus dilaksanakan dan ini sekali gus akan mengakibatkan kemerosotan pasaran buruh dan penurunan perbelanjaan isi rumah, peningkatan ketidaktentuan pelaburan, kehilangan pekerjaan tetap, penutupan perniagaan dan kesan lain sama ada secara langsung atau tidak.

“Oleh sebab itu, kerajaan berhati-hati dan perlu mempertimbangkan semua aspek dalam merangka sebarang pendekatan bagi mewujudkan keseimbangan antara menjaga kesihatan awam dan kesan terhadap ekonomi,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP hari ini.

Berikut adalah negeri yang ditamatkan PKPB esok seperti yang dijadualkan:
• Pulau Pinang kecuali Mukim 12 (Barat Daya), Mukim 13 (Timur Laut), manakala PKP Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Flat Jalan Paya Terubong, Relau dan Flat di Desa Bistari, Batu Uban bermula 7 Dis hingga 20 Dis.

• Perak kecuali bagi daerah Kinta serta Mukim Teja (daerah Kampar) dan Mukim Changkat Jong (daerah Hilir Perak) yang akan diteruskan PKPB bermula 7 Dis sehingga 20 Dis, manakala PKPD di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C, Ipoh, Perak ditamatkan hari ini berbanding 10 Dis yang dijadual sebelum ini.

• PKPD di Depot Tahanan Imigresen Langkap berserta Kuarters, Hilir Perak berkuat kuasa 6 Dis sehingga 19 Dis.
• Kelantan kecuali bagi daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas yang akan disambung PKPB dari 7 hingga 20 Dis, manakala Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, Kg Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh, dikenakan PKPD untuk tempoh yang sama.
• Putrajaya

• Negeri Sembilan kecuali bagi daerah Seremban dan Port Dickson yang akan dilanjutkan PKPB bermula 7 Dis sehingga 20 Dis.

Sementara itu, Kuala Lumpur dan Selangor masih dilanjutkan PKPB sehingga 20 Dis berikutan peningkatan kes COVID-19 kecuali bagi daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang akan kembali ke PKPP.

Pada masa yang sama, katanya PKPB di Kulim, Kedah yang sepatutnya berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 20 Dis berikutan terdapat 334 kes positif bagi kluster di Kulim.

Di Johor pula PKPB di Mersing ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, manakala PKPB di Kota Tinggi dilanjutkan sehingga 20 Dis, sementara tiga daerah iaitu Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai dikenakan PKPB mulai 7 Dis hingga 20 Dis. – BERNAMA