Kemelut MB Perak Bukan Isu Nasional – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Kemelut politik Perak melibatkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah masalah setempat dan bukannya isu nasional, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa.

Malah, beliau menyifatkan keadaan yang menyaksikan Ahmad Faizal hilang sokongan sebagai menteri besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu, langsung tidak dibincangkan secara formal sama ada oleh Biro Politik BN pusat atau pun dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Meskipun begitu, kemelut politik Perak perlu ditangani dengan baik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara bersama supaya tidak menimbulkan ketidakstabilan dan perpecahan lanjut,” katanya selepas menghadiri program MyFood@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Lembah Pantai, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan pucuk pimpinan setiap parti perlu duduk berbincang sebagai sebuah keluarga bagi memastikan semangat muafakat dan gabungan PN terus kukuh di negeri berkenaan.

Katanya, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan pergi ke Perak hari ini untuk mendapatkan maklum balas dan status terkini daripada Badan Perhubungan UMNO negeri.

Semalam, Ahmad Faizal, yang juga Timbalan Presiden Bersatu, gagal mendapat sokongan majoriti sebagai Menteri Besar apabila usul undi percaya terhadap beliau yang dibentangkan pada persidangan DUN tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak

Pada masa sama, Annuar berkata dalam keadaan sekarang, lebih baik tidak banyak kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin mana-mana parti di bawah PN agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Melainkan jurucakap parti, kenyataan pemimpin lain dianggap sebagai pandangan peribadi individu berkenaan, katanya mengulas cadangan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz agar UMNO bekerjasama dengan parti Amanah dan PKR bagi membentuk kerajaan baharu di Perak.

Terdahulu, Annuar, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, menyerahkan bantuan bekalan makanan berupa barang keperluan harian asas bernilai RM50 seunit secara percuma kepada 706 penerima di PPR tersebut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.