Jangan Lupa Siapa Bersama Dap Dahulu Tumbangkan BN Perak

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Azian Osman mengingatkan beberapa pihak agar jangan lupa beberapa senario berhubung isu politik negeri itu.

Soalnya, siapa yang bersama Dap menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu .

“Siapa yang membentuk kerajaan bersama Dap dulu?

“Siapa yang melompat untuk menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ada Dap dulu? Jangan lupa pulak,” bidas Azian dalam satu hantaran di Facebook.

Azian berkata demikian dipercayai merujuk kepada tuduhan dan serangan segelintir pihak bahawa UMNO bekerjasama dengan Dap yang menyebabkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kononnya hingga runtuh sebuah kerajaan Melayu.

Untuk rekod, semalam Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN dalam usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ (undi percaya) yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Dalam undi sulit terhadap usul itu, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya menerima 10 undi menyokong beliau sebagai menteri besar, manakala 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.

Dalam perkembangan yang berkaitan, di statusnya, Azian yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut membidas mereka yang khianat kepada parti tidak layak membicarakan berkaitan pengkhianatan.

“Sesiapa yang pernah khianat pada parti sendiri, baik bekas orang-orang UMNO atau parti-parti lain tak usahlah bersembang pasal pengkhianatan,” selarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.