“Wahai Kerajaan, Ikhlaslah Jika Ingin Membantu Rakyat” – Zahida

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan menyeru kerajaan agar ikhlas jika ingin membantu rakyat.

Gesanya, kerajaan perlu membuat satu-satu tindakan atau keputusan dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Sudah banyak saranan diberi dari pelbagai pihak. Jika kerajaan betul-betul ikhlas ingin membantu rakyat, kerajaan harus ikhlas dengan keputusan mereka dan merelakan pengeluaran caruman rakyat dibenarkan,” tulisnya di Facebook.

Zahida berkata demikian merujuk kepada kenyataan semalam oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah menyatakan setiap permohonan pengeluaran di bawah kategori 2, iaitu para pekerja yang terkesan dengan pemotongan gaji sebanyak 30% akan dipertimbangkan.

“Mengapakah kerajaan masih berdegil dengan syarat-syarat mereka itu? Adakah mereka masih tidak faham permintaan atau kehendak rakyat sekarang ini di dalam menghadapi kesengsaraan hidup disebabkan pandemik COVID-19? Soalnya lagi.

Seterusnya ulas Zahida, beliau jangka dengan kebenaran tanpa syarat tidak menjadi bebanan kepada KWSP dan ianya juga dapat merangsangkan ekonomi dengan penambahan tunai di dalam pasaran juga tanpa menggunakan wang kerajaan.

Terdahulu, dalam kenyataan yang dikeluarkan KWSP mengumumkan bahawa pencarum yang layak membuat permohonan pengeluaran Akaun 1; i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.

Menurut KWSP, kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020 dan tiada dokumen sokongan diperlukan.

Bagi kategori 2, KWSP berkata ia untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen sokongan yang diberikan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.