Perak: Tukar Menteri Besar, Bukan Ubah Kerajaan

IPOH, 4 Dis – Hari ini dilaporkan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ (undi percaya) yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak mengajak seluruh rakyat memberi kepercayaan dan dokongan penuh kepada kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak bagi mempertimbangan dengan penuh kebijaksanaan Baginda untuk memilih Menteri Besar Perak yang baharu sepertimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, tujuan utama undian yang dibawa oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abdul Manaf Hashim dan turut mendapat sokongan ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria adalah untuk memperlihatkan keabsahan kepimpinan menteri besar dan menutup segala persepsi negatif bahawa pentadbiran kerajaan hari ini adalah kerajaan pintu belakang..

“Namun begitu, proses pengundian secara belah bahagi sulit telah menunjukkan bahawa YAB Menteri Besar Perak hanya mampu mendapat sokongan sebanyak 10 undi berbanding 48 undi yang tidak percaya terhadap kepimpinan beliau dalam menerajui Kerajaan Negeri Perak.

“Keputusan yang tidak terjangka ini tentunya mencetuskan polemik dan kegusaran kepada rakyat dengan pelbagai spekulasi yang tidak benar mula dibangkitkan terutamanya di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, hakikat yang tidak disedari isu pertukaran Menteri Besar Perak ini bukan sesuatu yang baru memandangkan ia pernah berlaku sebelum ini tanpa melibatkan sebarang proses pilihan raya negeri.

“Keputusan yang dibuat oleh majoriti ADUN pada hari ini sudah tentu mempunyai asas pertimbangan tertentu yang dilakukan oleh setiap ADUN dengan penuh rasa bertanggungjawab bagi memastikan amanah rakyat negeri Perak sentiasa terpelihara.

“Pemuda UMNO Perak yakin bahawa pertukaran MB Perak tidak sama sekali akan merubah status Kerajaan Negeri Perak yang masih utuh dan kekal padu berteraskan kerjasama parti-parti dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

“Pemuda UMNO menumpahkan sepenuh taat setia kami dan akan sentiasa akur dengan apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh KDYMM Paduka Seri Sultan Perak berkaitan perlantikan YAB Menteri Besar Perak.”
Dalam masa yang sama, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak ingin merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, atas khidmat beliau selama menjawat jawatan selaku menteri besar.

“Akhir kalam, ayuh kita kembali rapatkan hubungan kekeluargaan yang telah dibina sebelum ini, Pemuda UMNO Perak terus konsisten mendokong permuafakatan di kalangan parti-parti politik yang istiqomah dengan agenda perjuangan memartabatkan Agama, Bangsa dan Tanah Air. Hanya kepada Allah kita berserah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.