KWSP: Jangan Dibunuh Harapan Rakyat, Pastikan i-Sinar Terus Bersinar

KUALA LUMPUR, 4 Dis – “Bantulah, permudahkanlah, jangan dibunuh harapan rakyat… semoga kerajaan lebih bersikap ikhlas dan bertanggungjawab terhadap rakyat.”

Demikian luah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berhubung pemohonan kemudahan i-Sinar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengenakan syarat-syarat bagi pemohon dan tidak menyeluruh kepada semua pencarum.

Katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menganggap ia seperti tindakan ‘melepaskan batuk di tangga’ dan tindakan yang sama sekali tidak ikhlas sebaliknya hanya semata-semata memenuhi keperluan mendapatkan kelulusan Belanjawan 2021 sahaja.

“Kerajaan yang bertanggungjawab bukan sahaja perlu memastikan rakyat terbela dalam kesusahan tetapi juga perlu mempunyai sifat amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Gesaan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terhadap isu KWSP dan moratorium menjadi satu syarat bagi kerajaan memperolehi sokongan untuk Belanjawan 2021.

“Di kala rakyat bergembira dengan pengumuman pengeluaran caruman KWSP melalui program i-Sinar, tidak sampai 24 jam, sinar itu kian pudar dan dilihat semakin malap. Apa tidaknya, KWSP memperkenalkan syarat-syarat yang menyukarkan pengeluaran,” katanya dalam kenyataan media berkaitan hal terbabit, hari ini.

Ujarnya, benarlah caruman yang dibuat pada masa lalu adalah untuk masa hadapan termasuklah hari ini tapi rakyat tengah susah, hutang isi rumah makin tertunggak, ramai yang dah mula tidak mampu menyara kehidupan dengan baik, akhirnya akan timbul isu sosial seperti kecurian, samun, ragut dan sebagainya.

“Adakah KWSP hendak bertanggungjawab sekiranya rakyat terpaksa ambil jalan mudah hanya kerana mereka tidak mampu mengeluarkan caruman mereka? Ini sahajalah pelampung kehidupan mereka. Permudahkan, bukan menyusahkan.”

Selain itu, katanya, benarkanlah pengeluaran ini berlaku secepat mungkin dan tidak perlu tunggu sehingga bulan Februari tahun hadapan.

“Rakyat perlukannya sekarang. Bukan tahun depan. Ini bukan duit kerajaan, ini duit rakyat. Duit hasil titik peluh mereka.

“Jangan serkap jarang seolah-olah akan ada pencarum akan mengeluarkan caruman mereka walaupun tidak terkesan. Ini adalah satu jangkaan yang jahat. Rakyat tidak bodoh untuk sengaja mengeluarkan caruman jika tidak benar-benar memerlukannya,” tegasnya lagi.

Terdahulu, dalam kenyataan yang dikeluarkan KWSP mengumumkan dua kriteria kepada pencarum yang ingin memohon pengeluaran dari akaun 1 iaitu tidak selari dengan apa yang disebutkan dalam penggulungan Bajet 2021 minggu lalu.

Dalam penggulungan tersebut, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata tidak kira sama ada pencarum telah hilang pekerjaan atau terkurang pendapatan tahun ini, mereka layak untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 1 tanpa mengira sama ada ahli tersebut merupakan pekerja di sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.