Undi Belah Bahagian Dan Undian Suara Jadi Tumpuan Dewan Rakyat  

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Sesi pengundian membabitkan Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat bagi kementerian yang selesai menggulung umpama ‘perlawanan’ antara blok kerajaan dan juga pembangkang.

Ahli Parlimen Pontian, yang juga Setiausaha Agung UMNO dalam satu catatan ringkas di Facebook, memuatnaik gambarnya yang ditugaskan sebagai pemerhati pengira undi kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Ismail ketika sesi pengundian belah bahagian bagi Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi platform media sosial yang sama pula menyenaraikan  ‘perlawanan’ di Dewan Rakyat setakat jam 12.55 tengah hari tadi, hari ini 3 Dis.

‘’Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini diputuskan secara undi belah bahagian. Mengambil iktibar daripada sebelum ini, maka Yang Dipertua Dewan Rakyat telah meminta pihak yang berlawanan supaya menjadi pemerhati kepada penghitung undi bagi memastikan ketelusan proses pengiraan undi dan mengelakkan kesilapan berlaku.

“Selepas undian dikira, sebanyak 110 undi menyokong dan 104 tidak menyokong.

“Kini, Dewan Rakyat mempunyai 220 orang MP (ahli Parlimen) memandangkan 2 MP meninggal baru-baru ini iaitu YB (Yang Berhormat) Batu Sapi dan YB Grik,” katanya.

Tambahnya lagi, apa yang menarik pada hari ini, Tun Dr Mahathir dan anaknya Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri  Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sama-sama berada di dalam Dewan Rakyat untuk mengundi.

“Pemimpin-pemimpin PH (Pakatan Harapan) nampaknya hadir beramai-ramai sejak awal pagi lagi untuk menyokong usul potong belanjawan MITI yang dibawa oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Tangau tetapi ditolak oleh Speaker kerana tidak mematuhi syarat.

“Sekejap lagi ada dua lagi Kementerian akan menggulung dan diputuskan iaitu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” ujarnya.

Berikut senarai ‘perlawanan’ di Dewan Rakyat setakat jam 12.55pm, 3 Dis 2020 :

2 Dis 2020

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan

Lulus menerusi undian suara

Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Lulus menerusi undian suara

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli

Lulus menerusi undian suara

1 Dis 2020

Kementerian Luar Negeri

Lulus menerusi undian suara

Kementerian Perpaduan Negara

Lulus menerusi undian suara

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Lulus menerusi undi belah bahagian, 108 vs 95

30 Nov 2020

Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa

Jabatan Perdana Menteri

Lulus menerusi undi belah bahagian, 105 vs 95

Kementerian Kewangan

Lulus menerusi undi belah bahagian, 106 vs 95

26 Nov 2020

Belanjawan 2021 Peringkat Dasar

Lulus menerusi undian suara – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.