Projek Rumah Rakyat Pahang Diberi Secara Percuma, Kerajaan Negeri Pentingkan Kebajikan Rakyat – MB

LIPIS, 3 Dis – Sehingga kini Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan sebanyak 98 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada rakyat negeri itu, ujar Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri membiayai projek perumahan tersebut dan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak.

“Sumber kewangan bagi pembinaan RRP ialah daripada dana Tabung Perumahan Rakyat Pahang (TPRP) dan sumbangan kerajaan negeri. Kos bagi pembinaan RRP adalah sebanyak RM65,000.

“Kerajaan negeri sentiasa mementingkan kebajikan rakyat yang memerlukan bagi menyediakan rumah yang selamat dan selesa kepada golongan B40 yang tidak memiliki rumah atau rumah yang sedia ada berada dalam keadaan daif dan tidak selamat diduduki,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu dalam satu catatan di Facebook, setelah selesai menyerahkan kunci RRP di Kampung Keledek, Lipis, hari ini.

Tambah Wan Rosdy lebih banyak lagi projek seperti itu akan dilaksanakan pada masa akan datang demi kemakmuran rakyat.

Hari ini juga Wan Rosdy menyerahkan kunci RRP kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Menson, Cameron Highlands.

RRP ialah cambahan kepada beberapa projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang sebelum ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.