Lagi Cerita Pasal KWSP… Kecewa Dan Mendukacitakan – Zahida

KUALA LUMPUR, 3 Dis  –  Lagi cerita pasal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)…nampaknya syarat yang dikemukakan oleh agensi berkenaan berhubung pengeluaran daripada akaun satu oleh pencarum bukan sahaja mendukacitakan malah satu keputusan yang memeranjatkan.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan yang turut terpanggil mengulas mengenai perkara berkenaan berpandangan perkembangan terkini jelas menyebabkan sebahagian pencarum kecewa setelah tidak dapat melaksanakan pelbagai perancangan termasuklah untuk memulakan perniagaan baru, menyelesaikan hutang-hutang tertunggak dan sebagainya lagi.

“Sekarang telah jelas hanya sebahagian pencarum yang layak untuk memohon pengeluaran caruman mereka dalam akaun satu dan pengeluaran tersebut bukan lagi diberi sekaligus tapi berperingkat-peringkat selama enam bulan.

”Dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran dalam tempoh enam bulan ini, segala perancangan terkubur dan hancur. Kenapa susah sangat untuk kerajaan meluluskan permintaan rakyat ini. Jika kerajaan bersetuju pada dasar untuk meluluskannya mengapa tidak dengan cara yang dapat memberi impak semaksimumnya kepada rakyat,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Sambil menyatakan dengan tegas mahukan kerajaan agar menimbang kembali keputusan berkenaan, Zahida seterusnya menggesa agar kerajaan melakukan sesuatu keputusan seikhlas mungkin yang dapat memanfaatkan rakyat.

Tambahnya KWSP seharusnya membenarkan pengeluaran sukarela secara ‘one off’, dengan pengeluaran maksimum RM10,000 kepada semua pencarum tidak kira mereka terjejas mahu pun tidak.

“Dalam situasi krisis ekonomi kini, pada saya, tidak perlu untuk KWSP memikirkan soal bersasar mahu pun tersasar, kerana apa yang diperlukan rakyat sekarang hanya pengeluaran simpanan sendiri bukanlah dana tambahan bantuan daripada kerajaan.

“Ya, saya ulang sekali lagi, rakyat mahu pengeluaran simpanan sendiri yang dipermudahkan. Kita mendapati hampir kesemua rakyat terjejas dengan keadaan semasa, walaupun sesetengah mereka tidak seteruk rakan yang lain,” ujarnya.

Ujarnya lagi jika semua pencarum dibenarkan mengeluarkan sebahagian caruman, mereka yang kurang terjejas boleh mengunakan wang tersebut untuk membayar sebahagian hutang bank mereka atau untuk lain-lain keperluan.

“Hari ini dengan kerajaan mengenakan pelbagai prasyarat untuk mengeluarkan caruman tersebut, adalah dijangkakan cuma sebahagian sahaja pencarum-pencarum berkelayakan untuk mengeluarkan caruman mereka. Rakyat harus bersatu untuk membantah kezaliman ini,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.