KWSP Perlu ‘Serupa Bikin’ Dengan Komitmen Menteri Kewangan, Hapuskan Syarat – Pemuda Kedah

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Pemuda UMNO Kedah hari ini melontarkan beberapa persoalan berhubung isu yang mencetuskan polemik di kalangan masyarakat umum mengenai syarat-syarat yang dikenakan berkaitan pengeluaran Akaun Satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagi Ketua Penerangannya Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, jika diimbau kembali kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lepas yang menyebut tiada sesiapa akan tertinggal daripada mendapat manfaat bantuan kerajaan semasa mengharungi pandemik COVID-19 merupakan satu ikrar perjanjian kerajaan dengan rakyat.

Namun jelas beliau hari ini ianya menjadi suatu lorong gelap bagi sebilangan pencarum KWSP yang menanti dengan penuh pengharapan bagi mendapat keistimewaan mengeluarkan wang caruman mereka dalam Akaun Satu, setelah harapan mereka dinafikan dengan KWSP memperkenalkan syarat yang ketat.

“Rata-rata meluahkan amarah mereka menerusi laman sosial, mengadu kepada pemimpin politik supaya nasib mereka dibela setelah mereka berada dalam kategori yang tidak memenuhi syarat pengeluaran, yang bersifat tidak adil kepada sebilangan pencarum.

“Berbalik kepada janji Perdana Menteri itu dan senario KWSP sekarang, kelihatan kerajaan telah memungkiri janji untuk memastikan tiada yang tertinggal daripada mendapat manfaat. ”

Dan kerajaan sekali lagi memungkiri janji yang dibuat oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sidang Dewan Rakyat minggu lepas yang menjanjikan pengeluaran KWSP akan dibuka kepada semua yang melibatkan seramai 8 juta orang,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tegasnya adakah ucapan Menteri Kewangan semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2021 itu hanya bersifat ‘lip service’ bagi mendapat sokongan ahli Parlimen bagi kelulusan dan kemudian dengan sewenangnya tidak menunaikan janji berkenaan.

Persoalan lain tegasnya lagi adakah syarat itu diletakkan kerana terlepas pandang golongan kekurangan pendapatan akibat dipotong gaji ataupun adakah syarat itu diletakkan KWSP setelah ia mempunyai data bagi menyokong tindakan pengeluaran bersyarat itu.

“Bagi Pemuda UMNO Kedah, perkara yang mudah jangan disulitkan. Tugas kerajaan memudahkan hidup rakyat. Kembalikan kepada cadangan asal iaitu beri pengeluaran sekali sebanyak RM10,000 tanpa bersyarat. Ubahlah semula syarat berkenaan, tidak perlu malu apabila kerajaan terpaksa mengubah peraturan pengeluaran sebanyak dua kali dalam masa singkat.

“Pada masa yang sama tempoh pengeluaran juga agak lama iaitu bulan Januari bagi kategori pertama dan bagi kategori kedua permohonan hanya bermula pertengahan Januari.  Wujudkanlah hanya satu kategori dan segerakanlah pembayaran agar manfaat itu segera dinikmati.

“Berikanlah berita gembira segera kepada rakyat, jangan biar mereka terus marah yang akibatnya akan ditanggung kerajaan dalam tempoh yang panjang,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.