i-Sinar: Permudahkan Usah Dipersulitkan, Pemuda UMNO Cadang Tiga Penambahbaikan

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Sejak pengumuman perincian berkenaan inisiatif i-Sinar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kelmarin, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menerima puluhan ribu maklum balas di pelbagai wahana termasuk di media sosial, WhatsApp dan telefon.

Kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, rata-rata maklum balas yang diterima menzahirkan kemarahan dan kekecewaan terhadap keputusan KWSP yang dilihat lebih menyulitkan berbanding harapan yang diberikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu sesi penggulungan peringkat dasar Rang Undang-Undang (RUU) Bajet 2021 tempoh hari.

“Majoriti rakyat yang bersuara bertanggapan bahawa KWSP tidak ikhlas dan dilihat gagal menterjemahkan suara hati dan janji kerajaan untuk meringankan beban mereka yang ketika ini berhadapan dengan kesusahan dan kepayahan hidup yang nyata di era pandemik.

“Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar KWSP tidak lagi cuba berdolak dalih dan segera melakukan tindakan korektif dan penambahbaikan,” katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.

Justeru tambah Dr Asyraf, Pemuda UMNO membentangkan tiga cadangan utama bagi penambahbaikan tersebut, iaitu:

(i) Memansuhkan segala syarat yang menyusahkan pencarum yang ingin mengeluarkan wang simpanan mereka;

(ii) Mengurangkan karenah birokrasi dengan menyingkatkan tempoh untuk pemohon menerima bayaran pertama daripada 3 bulan kepada maksimum 1 bulan.

(iii) Memberikan pilihan kepada Ahli KWSP untuk mengeluarkan maksimum RM10,000 sekaligus (one-off) setelah permohonan diluluskan.

Ulas Dr Asyraf, di samping tiga cadangan awal itu, Pemuda UMNO komited dengan janji mereka sebagai pemantau kepada pelaksanaan i-Sinar dan akan terus membawakan segala suara hati dan aduan rakyat kepada kerajaan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.