Dulu Seteru Politik, Kali Ini Rakan Muafakat… Semuanya Menerusi CePumas Malam Ini

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Wawancara CePumas malam ini bakal menampilkan tokoh daripada parti yang sebelum ini puluhan tahun menjadi seteru politik kepada UMNO yang hari ini duduk semeja atas permuafakatan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN).

Sejarah dan pengisiannya, umum tahu. Itulah…daripada seteru kepada sekutu. Daripada sekutu ke sahabat. Itulah UMNO dan PAS dalam lembaran baharu politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan seperti biasa akan menjadi hos program terbitan Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) itu untuk bertanyakan soalan-soalan yang berlegar di luar sana mengenai UMNO dan PAS yang akan menampilkan Ketua Pemudanya, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin.

“Setiap persahabatan akan diuji. Adakala dari luar, adakala dari dalam. Jika persahabatan itu lemah, ia akan gagal melalui ujian tersebut, persahabatan diganti syak wasangka, marah, tak puas hati,” kata Shahril menerusi catatan di Facebook hari ini.

Menerusi catatannya itu juga, Shahril menyatakan persahabatan yang jitu akan mampu lulus ujian-ujian berlandaskan keikhlasan, kejujuran, keinsafan untuk mendukung matlamat bersama dan penghormatan terhadap pendirian masing-masing.

“Seperti sebelumnya, #CePumas mengajak kita tidak buat andaian mudah. Kita tanya depan-depan, dan beri peluang kepada wakil PAS kali ini Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk jelaskan pendirian dan hasratnya. Kemudian kita hadam dan ulas dengan adil dan objektif,” ujarnya.

Katanya ramai bertanya apa pendirian PAS dalam perihal mustahak berhubung landskap politik PN, MN, berat ke mana, adakah bersama kedua-duanya dan juga persoalan apa implikasinya pada PRU kelak.

“Selain mengenali sahabat, kita juga tahu pendirian ini akan memberi kesan kepada apa-apa pertimbangan dan keputusan yang hendak dibuat oleh UMNO. Dalam hal ini, wujud pelbagai andaian dan tafsiran-tafsiran tertentu yang belum pasti kesahihannya,” ujarnya lagi.

Jangan lupa saksikan CePumas malam ini pada pukul 8.45 malam secara langsung menerusi Facebok UMNO-Online. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.