PKPB: Laksana Situasi Menang-Menang Untuk Pulih Sektor Ekonomi, Pelancongan – Sharkar

KUANTAN, 2 Dis – Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berpandangan adalah sewajarnya kerajaan hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan merah dan kuning sahaja.

Katanya, ini amat penting bagi merancakkan kembali ekonomi negara dan memulihkan kembali sektor pelancongan.

“Sektor pelancongan perlu dipulihkan segera kerana ramai pemain industri ini yang terkesan ekoran pelaksanaan PKP bermula 18 Mac 2020. Mereka sudah cukup menderita dan menanggung kerugian jutaan ringgit ekoran kehilangan pelanggan.

“Sektor pelancongan perlu dirancakkan kembali dan pelaksanaan PKPB secara menyeluruh di seluruh negeri bukan cara terbaik. Industri pelancongan khususnya pemain-pemain industri itu perlu situasi menang-menang agar nasib mereka terbela,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang turut memetik kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa keputusan sama ada PKPB ditamatkan atau disambung di beberapa negeri akan diketahui pada Jumaat ini (4 Dis).

“PKPB sebelum ini diumumkan dilaksanakan di seluruh negara kecuali bagi negeri Pahang, Perlis dan Sarawak yang bermula 9 Nov lalu.

“Bagaimanapun PKPB di negeri Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan lebih awal iaitu pada 21 Nov lalu namun beberapa daerah seperti Kulim di Kedah, Kota Tinggi dan Mersing di Johor masih dikenakan PKPB,” katanya.

Justeru tambah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, beliau berpandangan bahawa kerajaan sewajarnya memikirkan situasi menang-menang dalam pelaksanaan PKPB di mana ia wajar diteruskan tetapi perlu dilaksanakan mengikut daerah dan tidak melibatkan seluruh negara.

“Jika sesuatu daerah itu merah dan kuning, hanya kawasan berkenaan perlu dikenakan PKPB.
“Jika PKPB seluruh negara atau negeri, ia akan melibatkan kesan kepada ekonomi, ramai yang akan hilang pekerjaan dan ramai peniaga kecil akan terkesan ekoran pelaksanaan PKPB.

“Begitu juga sektor pelancongan juga akan terjejas, saya berikan contoh di Pahang, industri pelancongan di negeri ini berhadapan cabaran cukup besar apabila kehilangan kira-kira 1.05 juta pelancong sebulan sejak Mac 2020,” katanya.

Ulasnya lagi, kehilangan pelancong mendadak itu amat membimbangkan kepada semua industri pelancongan sekali gus memberi kesan kepada pencapaian sasaran 15 juta pelancong tahun ini.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri komited memastikan industri itu bangkit dan berdaya saing dengan merancang pelbagai inisiatif bagi meningkatkan semula kemasukan pelancong khususnya bagi pelancongan domestik.

“Misalnya dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2021, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi 16 projek di bawah Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan 2020 meliputi setiap Daerah di Negeri Pahang,” katanya.

Kerajaan Negeri juga katanya mengemukakan permohonan projek-projek pelancongan kepada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM49.25 juta. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.