Akibat COVID-19: Penghantar Makanan… Antara Cita-Cita Atau Terpaksa – Zahida

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Sejak penularan COVID-19 dalam negara bermula pada Januari 2020 lalu, peluang pekerjaan terus berkurangan dan ditambah pula dengan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan, gara-gara pandemik tersebut juga kerja penghantar makanan sangat popular dan menjadi pilihan ramai.

“Pekerjaan tersebut boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir setiap saat, kita dapat melihat kotak makanan berwarna hijau, merah, hitam dan kuning di belakang motorsikal di jalan jaya.

“Pernahkah kita terfikir, adakah itu cita-cita atau kerjaya impian mereka, ataupun ia kerjaya yang terpaksa dipilih untuk meneruskan kelangsungan hidup serba mencabar di bandar.

“Simpati kepada mereka yang terpaksa bertukar kerjaya kepada penghantar makanan selepas dibuang kerja dan ada yang terpaksa buat dua kerja akibat gaji dipotong lebih 50 peratus ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang ini,” ujarnya dalam satu catatan di Facebook.

Zahida juga memetik kenyataan dari Ketua Logistik Foodpanda Malaysia Shubham Saran yang berkata, jumlah penghantar syarikat itu meningkat 7.5 peratus dan permohonan kerja naik 37 peratus pada Mac lalu.

“Jadi sekarang sudah pasti angkanya lebih tinggi. Ini boleh menyebabkan ‘supply’ melebihi ‘demand’ yang mana akhirnya menyebabkan ketidak seimbangan dan pendapatan penghantar makanan tidaklah tinggi seperti dijangkakan.

“Syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan penghantar makanan pula akan berasa sangat selesa hingga mengabaikan kebajikan ‘rider’ mereka.

“Tidak dapat dinafikan lagi, geng-geng ‘riders’ ini juga telah banyak menyumbang kepada usaha menyekat penularan virus ketika ini, mereka juga adalah ‘frontliners’ yang patut kita hargai,” tambahnya.

Justeru itu katanya, Puteri UMNO memohon agar pihak kerajaan mendengar dan memberi penyelesaian kepada masalah yang diluah oleh anak muda bekerja sebagai penghantar makanan hari ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.