Jawatan TPM Wajar Diberi Pada UMNO… Bukan Kerana Tamak – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menyambut baik kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa UMNO akan membangkitkan semula kedudukan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) selepas selesai perbahasan Belanjawan 2021.

Jelas beliau, ini membuktikan bahawanya UMNO berjiwa besar dan sanggup berkorban dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun memiliki kerusi terbanyak demi mahu melihat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

“Ini bukanlah soal tamak. Kita perlu melihat isu ini daripada sudut yang positif di mana pengisian jawatan TPM daripada UMNO akan meningkatkan kestabilan kerajaan PN untuk memerintah.

“UMNO merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini bukan daripada UMNO. Ini sudah menunjukkan pengorbanan besar UMNO yang membuktikan kita mampu berkorban untuk kepentingan rakyat.

“Kepakaran dan pengalaman UMNO amat diperlukan dalam proses membuat dasar kerajaan terutama sekali ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang memerlukan tumpuan khas kepada pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu catatan di Facebook, hari ini.

Tambah Dr Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, pencapaian Malaysia pada hari ini adalah hasil usaha pemimpin UMNO yang mencorakkan kegemilangan negara, bukan daripada PKR, Dap, PAN dan sebagainya.

“Realitinya, Perdana Menteri perlu memberikan jawatan TPM kepada UMNO untuk membuktikan Bersatu ikhlas dalam perpaduan Melayu dan penyatuan ummah.

“Usaha dan niat ini perlu diterjemahkan dalam pemberian jawatan kabinet yang lebih adil dan iklhas,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.