PKPD Di Kampung Numbak Dan Penempatan Telipok Dilanjutkan Sehingga 13 Dis

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan penempatan Telipok di Kota Kinabalu, Sabah yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 13 Dis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat penilaian risiko di dua kawasan berkenaan.

‘’Sehingga 27 Nov, KKM mengesahkan masih terdapat 109 kes aktif di Kampung Numbak dan 136 kes aktif di penempatan Telipok.

Selain jumlah kes aktif yang masih tinggi, terdapat ramai lagi penduduk di kedua-dua lokaliti ini yang perlu menjalani ujian saringan,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dua kawasan itu dikenakan PKPD bermula 16 Nov lepas.

Dalam perkembangan terkini, Ismail Sabri berkata seramai 648 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan 594 daripadanya dikompaun manakala 54 individu direman.

Antara kesalahan itu membabitkan aktiviti pusat hiburan (331), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (102), tidak memakai pelitup muka (65), rentas negeri/daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan merekod butir pelanggan (60)  dan lain-lain (26).

Katanya Operasi Benteng semalam pula berjaya menahan 99 pendatang tanpa izin dan dua tekong, di samping merampas dua kenderaan darat.

Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas sehingga semalam, 77,211 individu telah pulang ke tanah air, dan daripada jumlah itu 10,611 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 405 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 66,195 individu telah dibenarkan pulang.

Berhubung Ops Sanitasi Awam COVID-19 semalam, katanya 25 operasi sanitasi diadakan di kawasan yang terdiri daripada empat zon merah, empat zon kuning dan dua zon hijau. – BERNAMA 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.