i-Sinar KWSP: Pemuda UMNO Sedia Memantau, Pastikan Rakyat Tidak Terbelenggu Syarat Birokrasi Menyusahkan

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersedia menjadi mata, mulut dan telinga rakyat untuk terus bersuara menyampaikan denyut nadi dan suara hati rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan demikian khususnya mengenai keputusan terbaru Kerajaan kelmarin untuk membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP (i-Sinar) sehingga RM10,000 secara sekaligus dengan melonggarkan syarat-syarat yang ditetapkan sebelum ini.

Terdahulu, Khamis lalu kerajaan memaklumkan bahawa program i-Sinar dibuka dan diperluaskan kepada kesemua lapan juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas, dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000.

“Mohon semua dapat menyampaikan sebarang kesulitan sekiranya masih sukar untuk mengeluarkan wang simpanan anda daripada Akaun 1 KWSP sebagaimana dipersetujui dalam ucapan Penggulungan Belanjawan 2021 kelmarin.

“Berkongsilah dengan kami melalui facebook ini atau whatsapp dan hubungi nombor khas berikut: 013-7354116 atau 013-7354117. Kami sedia memantau,” kata Dr Asyraf Wajdi menerusi laman facebooknya.

Jelas beliau yang menjawab komen dalam facebooknya, Pemuda UMNO hanya mahu memastikan rakyat yang susah ketika ini khususnya lapan juta pencarum yang sudah diberi jaminan oleh kerajaan bagi mengeluarkan wang simpanan mereka dipermudahkan dan tidak terbelenggu dengan syarat-syarat birokrasi yang menyusahkan.

Dalam pembentangan Belanjawan pada 6 Nov lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan akaun satu KWSP boleh dikeluarkan tetapi terhad hanya kepada dua juta pencarum yang layak berdasarkan kepada syarat-syarat tertentu.

Hal tersebut telah mendapat bantahan dari pelbagai pihak termasuklah Pemuda UMNO sendiri yang konsisten menyokong cadangan Barisan Nasional (BN) untuk pengeluaran akaun KWSP kepada semua pencarum. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.