Pelan Pemulihan TH Anjuran PH Ternyata Gagal, Pemuda UMNO Gesa RCI Wajar Ditubuhkan Segera

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Pendedahan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah mengenai kerugian bersih syarikat Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sebanyak RM9.95 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2019 di Dewan Rakyat Rabu lalu amat membimbangkan.

Kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ini jelas menunjukkan Pelan Pemulihan Tahung Haji (TH) yang dianjurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah gagal.

Ia juga katanya, hanya bersifat kosmetik semata-mata bagi menutup kelemahan dasar ekonomi PH yang menyebabkan aset-aset TH bernilai RM9.63 bilion terjejas teruk dan sekaligus dijual kepada UJSB dengan penerbitan sukuk berjumlah RM19.9 bilion pada bulan April 2019.

“Menurut Pelan Pemulihan TH Kerajaan PH ini juga, UJSB akan menebus kembali sukuk-sukuk tersebut berserta keuntungan berjumlah RM27.56 bilion pada hujung tahun ke-9.

“Persoalannya, apakah UJSB yang hanya berpendapatan (revenue) sebanyak RM234 juta sahaja bagi tahun 31 Disember 2019 ini berkemampuan untuk membina dana sebesar RM27.56 bilion bagi menebus sukuk-sukuk tersebut? Soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Asyraf juga merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara yang turut meragui keupayaan UJSB untuk mencapai sasaran tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan.

“Lebih membimbangkan apabila ‘jaminan berbentuk komitmen’ yang sering diuar-uarkan oleh bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hakikatnya bukanlah Jaminan Kerajaan mengikut Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965,” tegasnya lagi.

Justeru tambahnya, atas dasar itulah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sejak dari awal tidak yakin dan sinis dengan Pelan Pemulihan TH anjuran PH ini kerana menganggap hanya satu ‘grand scheme’ atau ‘konspirasi besar’ penjualan lambak aset-aset TH dengan mengaburi persepsi rakyat khususnya pendeposit dan menutup kelemahan dasar ekonomi PH.

Pemuda UMNO juga katanya sedikit kecewa kerana tiada tindakan yang signifikan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat sebarang salah laku dan penyimpangan dalam TH, walaupun telah berkali-kali dibangkitkan termasuk penyerahan Memorandum Mendesak penubuhan RCI TH kepada Menteri Agama di JPM.

“Justeru, sekali lagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar kerajaan PN dapat menyegerakan penubuhan RCI TH dan menghentikan segera segala transaksi penjualan aset-aset TH termasuk baki 74% ladang-ladang kelapa sawit milik TH Plantations,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.