Kerajaan PN Tidak Stabil, PRU Perlu Diadakan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini adalah kerajaan yang tidak stabil dalam memerintah Malaysia.

Jelas beliau, ini kerana ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN seramai 112 orang dan ia amat tipis, maka untuk menstabilkan kembali amat sukar kecuali melalui Pilihan Raya Umum (PRU).

“112 ini adalah angka paling akhir untuk memerintah Malaysia. Sekarang dan pada saat ketika ini kerajaan ini betul-betul di angka 112. Kalau satu orang tidak datang pada pengundian bajet, tinggallah 111. Betapa tipisnya kerajaan hari ini. Caranya tidak ada lain kecuali bubar Parlimen, bubar Dewan (Dewan Rakyat), kita Pilihan Raya Umum semula.

“Lagi awal PRU lagi bagus. Kenapa? Sebab kerajaan ini adalah kerajaan yang tidak stabil dalam dunia. Kerajaan Malaysia ini adalah kerajaan yang tidak stabil dalam dunia pada saat dan ketika ini.

“Kerajaan PN adalah kerajaan paling tipis dan paling tidak stabil dalam dunia. Kalau kita tidak mahu menstabilkannya maka sukarlah kerajaan ini untuk bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara Cepumas bersama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO Online, Rabu malam.

Dalam pada itu Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menyeru akar umbi UMNO di seluruh negara agar terus mempersiapkan diri untuk menghadapi PRU akan datang.

“Saya pohon akar umbi terutama UMNO di peringkat cawangan mengharapkan agar meneruskan usaha menyiapkan diri untuk menghadapi PRU ke 15. UMNO terdiri 22 ribu cawangan, 191 bahagian dan 13 Negeri daripada 14 negeri… itulah akar umbi UMNO,” ujarnya.

Ahmad juga menyambut baik keputusan parti untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN).

“Kita ingin mendaftarkan MN dengan dua asas parti utama terlebih dahulu iaitu UMNO dan PAS. Itu keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perunding, Jawatankuasa Pemandu yang dihadiri 11 orang daripada UMNO dan 10 orang dari PAS.

“Kita akan meneruskan MN bersama PAS. Kita tunggu apakah keputusan rundingan daripada pucuk pimpinan mengenai rakan-rakan kita yang lain. Ikatan kita bersama PAS hendaklah kita kukuhkan. MN hendaklah diperkukuhkan… itu keputusan yang amat penting,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.