Jurubicara Rakyat, Pemuda UMNO Pantau Perlaksanaan Skim I-Sinar – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersyukur rintihan suara rakyat didengari oleh kerajaan berhubung penambahbaikan Skim I-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan oleh kerajaan hari ini, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ujarnya, segala syarat-syarat ketat pengeluaran Akaun 1 KWSP dimansuhkan dengan mengambil kira semua pencarum yang pendapatannya terjejas iaitu kira-kira lapan juta orang berbanding hanya dua juta orang sebelum ini dengan kebenaran pengeluaran sehingga maksimum RM10,000.

Justeru katanya Pemuda UMNO akan terus memantau dari segi perlaksanaannya.

“Mohon semua dapat berkongsi sekiranya masih dipersulitkan dengan pelbagai syarat tidak munasabah.

“Kami akan terus menjadi jurubicara rakyat,” ujarnya dalam satu komen di status Facebooknya dengan meninggalkan tanda pagar #PemudaJurubicaraRakyat.

Sebelum ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara konsisten menggesa kerajaan membantu rakyat yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19 dengan membenarkan pengeluaran wang dari Akaun 1 KWSP secara sekaligus dan juga melanjutkan moratorium secara automatik kepada semua peminjam.

Sebentar tadi ketika Penggulungan Kementerian Kewangan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, di sini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program i-Sinar kini dibuka untuk kesemua lapan juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas, dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000.

Untuk rekod, semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu, kerajaan telah meluluskan Skim i-Sinar yang akan membolehkan Akaun 1 KWSP dikeluarkan namun malangnya ia tidak menyeluruh kerana hanya melibatkan dua juta pencarum sahaja ditambah pula dengan syarat yang sukar.

Perkara tersebut mendapat perhatian dari UMNO dan BN agar pihak KWSP melonggarkan syarat dengan mengambil kira juga rakyat yang ketika ini benar-benar sengsara akibat kekangan punca pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.