I-Sinar KWSP Dibuka Kepada 8 Juta Ahli, Suara BN Didengari

SEBENTAR tadi, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program i-Sinar kini dibuka untuk kesemua lapan juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas, dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000.

Tengku Zafrul berkata demikian di dalam Penggulungan Kementerian Kewangan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sebelum ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara konsisten menggesa kerajaan membantu rakyat yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19 dengan membenarkan pengeluaran wang dari Akaun 1 KWSP secara sekaligus dan juga melanjutkan moratorium secara automatik kepada semua peminjam.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di dalam satu kenyataan medianya pada 4 Nov lalu berkata Ahli-ahli Parlimen BN yang terdiri daripada Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Dewan Rakyat seramai 43 orang yang bermesyuarat pada 3 Nov telah bersetuju sebulat suara akan terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi ke atas Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 Nov, begitu juga dengan semua RUU yang akan dibentangkan oleh pihak kerajaan.

Walaupun begitu kata Ahmad Zahid, Ahli-ahli Parlimen BN juga bersetuju supaya kerajaan mempertimbangkan dua permintaan utama iaitu pelanjutan moratorium dan pengeluaran Akaun 1 KWSP.

Dua permintaan itu juga diulangi semula oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Ahmad Zahid dan beberapa Ahli Parlimen BN ketika berbahas RUU tersebut.

Untuk rekod, semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu, kerajaan telah meluluskan skim i-Sinar yang akan membolehkan Akaun 1 KWSP dikeluarkan namun malangnya ia tidak menyeluruh kerana hanya melibatkan dua juta pencarum sahaja ditambah pula dengan syarat yang sukar.

Perkara tersebut mendapat perhatian dari UMNO dan BN agar pihak KWSP melonggarkan syarat dengan mengambil kira juga rakyat yang ketika ini benar-benar sengsara akibat kekangan punca pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.