Lebih Baik Kerajaan Fokus Dahulu Isu Rakyat Daripada Bincang GST – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan pandangan untuk kerajaan hari ini lebih fokus kepada isu rakyat yang ditimpa kesusahan susulan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas terhadap langkah kerajaan yang telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji pelbagai langkah meningkatkan pendapatan, termasuk kemungkinan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Pandangan saya lebih baik kerajaan fokus dahulu isu yang rakyat minta pertimbangkan hari ini terutamanya pengeluaran Akaun 1 KWSP RM10,000 sekaligus tanpa mengenakan syarat-syarat ketat yang mengekang dan lanjutan moratorium secara pukal bukan bersasar.

“Isu cukai GST kita bincangkan kembali selepas kesusahan rakyat ketika pandemik COVID-19 ini reda dan diminimumkan,” katanya berkaitan isu terbabit yang dimuatnaik menerusi laman facebooknya.

Jelasnya lagi yang menjawab menerusi ruangan komen, di kala rakyat susah memikirkan duit di poket makin kurang untuk berbelanja, adalah kurang bijaksana membicarakan mengenai isu cukai untuk mengambil apa yang tersisa daripada poket rakyat.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada 6 November lalu adalah yang pertama sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Zafrul juga akan menjadi penggulung terakhir mewakili Kementerian Kewangan bagi sesi penggulungan minggu ini sebelum proses pengundian dilakukan yang memerlukan kelulusan dari anggota Dewan Rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.