Hilang Kerja Sumbang Kadar Jenayah Tinggi, Harap Kerajaan Tangani Soal Keselamatan Rakyat – Zahida

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan melahirkan kebimbangan akan keselamatan rakyat terutamanya golongan wanita yang paling berisiko menjadi mangsa samun dan ragut.

Katanya, antara punca menyumbang kepada kadar jenayah adalah makin ramai hilang pekerjaan dan makin ramai penganggur.

“Jenayah berlaku tidak mengira masa, lebih-lebih lagi di musim krisis sekarang.

“Bukan mahu membela penjenayah, tapi itulah hakikatnya, situasi krisis ini mesti diurus kerajaan dengan baik.

“Kami bimbang akan keselamatan rakyat di luar sana, terutamanya golongan wanita yang paling berisiko menjadi mangsa samun dan ragut,” katanya dalam hantaran melalui facebooknya, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan ambil perhatian dan lakukan sesuatu untuk tangani masalah ini.

Zahida berkata demikian susulan video yang tular berkaitan dua suspek yang menarik rantai emas yang dipakai seorang wanita di sebuah farmasi baru-baru ini.

Pada awal rakaman video berdurasi 45 saat itu, kelihatan dua suspek berjalan ke arah pintu masuk farmasi dari sebuah kenderaan yang diletak di tepi jalan di hadapan farmasi terbabit.

Seorang daripadanya masuk ke dalam menuju ke kaunter farmasi sebelum merentap rantai emas dari leher mangsa yang sedang berdiri di hadapan kaunter pembayaran.

Suspek dilihat merentap rantai mangsa sebanyak dua kali sebelum menumbuk wanita malang itu di bahagian muka.

Dia kemudian berlari keluar dari farmasi dan melarikan diri bersama rakan subahat dengan sebuah kereta. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.