Kelulusan Vaksin Dan Berita Gembira Penggulungan Belanjawan 2021 Jadi Harapan Rakyat – Salleh

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ketika ini rakyat menanti dengan penuh harapan agar vaksin COVID-19 berjaya ditemui dan Dewan Rakyat membawakan berita gembira mengenai penggulungan Belanjawan 2021.

Ujar Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, seperti yang beliau pernah sebutkan, kerajaan-kerajaan di serata dunia sedang bertungkus-lumus untuk mencari penyelesaian kepada masalah kesihatan dan ekonomi yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

“Minggu lepas dua berita mengenai vaksin COVID-19 menjadi tumpuan. Pfizer mengumumkan vaksin yang sedang melalui ujian menunjukkannya 95% berkesan dalam melindungi manusia daripada jangkitan.

“Vaksin yang dibangunkan syarikat itu kini dalam proses penilaian di negara-negara Kesatuan Eropah, Australia, Kanada, Jepun dan United Kingdom.

“Vaksin yang dibangunkan oleh Moderna pula kini 94.5% berkesan berdasarkan data interim percubaan klinikal peringkat akhir. Sudah pastilah kedua-dua pengumuman ini membawa harapan kepada seluruh dunia,” ujarnya di dalam blognya sallehsaid.com pada Isnin.

Seterusnya tambah Salleh lagi, di Malaysia pula, semua menanti dengan penuh harapan agar sesi perbahasan dan penggulungan Belanjawan 2021 membawa keputusan yang terbaik untuk negara dan rakyat.

“Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan akan membuat penggulungan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2021) yang dijadualkan bermula hari ini, dan sesi undian pula dijangka pada Khamis ini.

“Dalam kita menanti dengan harapan agar vaksin COVID-19 segera berjaya dan diluluskan, kita juga berharap agar Dewan Rakyat membawakan berita gembira untuk rakyat, agar kita dapat menghadapi dugaan kesihatan dan ekonomi yang cukup membebankan ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.