Fitnah Tidak Boleh Bawa Kepada Kejayaan – Annuar

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tidak percaya fitnah boleh membawa kepada kejayaaan seperti pegangan segelintir pihak.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian mengenai poster palsu yang mendakwa beliau telah ‘berhijrah’ menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Seronok juga tengok poster palsu yang dibuat pihak tertentu (yang saya tahu sumbernya). Mereka itu golongan yang percaya fitnah boleh menjayakan mereka. Saya tidak percaya fitnah boleh membawa kita kepada kejayaan.

“Saya memilih untuk berkata benar dan berterus terang. Mungkin saya mudah disalah mengertikan. Tidak mengapa. Kebenaran kadang-kala memerlukan masa,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Menteri Wilayah Persekutuan itu, beliau memahami semua orang ikhlas mahu UMNO berjaya, cuma cara mungkin berbeza.

“Kita raikan perbezaan itu. Saya tidak semestinya betul.

“Tapi hati saya kuat berkata bahawa UMNO mesti perkasakan politik taawun (kerjasama) dan taayush (wujud bersama). Rasulullah mengamalkannya,” katanya.

Ulasnya lagi, UMNO juga perlu menjuarai penyatuan ummah, mempertahan kuasa yang berada di tangan kelompok teras, yakni orang Melayu Pribumi dan Bumiputera.

“Pada masa yang sama mengekalkan kebijaksanaan Melayu untuk taayush (co-exist – wujud bersama) dalam masyarakat majmuk. Sederhana, toleran dan memimpin ummah.

“Ini juga yang diamalkan di Daulah Islamiah yang pertama Madinatul Munawwarah oleh Baginda Rasulullah SAW.

“Berunding sesama Islam itu wajib. Bermuafakat itu suatu kebijaksanaan, bukan kelemahan,” ujarnya.

Seterusnya Annuar berkata kini parti kembali mengendong kuasa selepas 22 bulan diuji dengan kejatuhan.

“Allah SWT selamatkan kita dengan cara yang tak terfikir pun oleh kita. Dengan hanya 39/222 kerusi, kita kembali di tampuk kuasa. Ia satu rahmat yang amat besar.

“Saya doakan agar kita tidak menjadi “yang dikejar, kejar tak dapat… yang dikendong jatuh berciciran,” katanya.

Dalam hantaran yang sama, Annuar juga berkata ada pihak yang memintanya mengulas terjahan rakan-rakan terhadapnya tetapi beliau mengambil sikap tidak gemar menyerang sesama sendiri kerana tiada ‘vendetta’ atau berdendam kepada sesiapa. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.