Duta Besar Amerika Syarikat Temu Zahid Bertukar Pandangan Isu Politik, Ekonomi Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Pelbagai perkara termasuklah soal perdagangan dan juga politik semasa negara dibincangkan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Duta Besar Amerika Syarikat, Kamala Shirin Lakhdhir dan rombongan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut serta dalam pertemuan berkenaan berkata Ahmad Zahid menyatakan beberapa pandangan termasuklah soal eksport komoditi dan juga sektor pembuatan.

“Perbincangan utama adalah pandangan presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengenai perdagangan yang perlu terus dipertingkatkan khususnya dari segi eksport kelapa sawit dan juga getah serta produk sektor pembuatan lain.

“Selain itu satu lagi pandangan Malaysia yang membantah pengiktirafan ibu negara Jurusalem sebagai ibu negara Israel dan kita menyatakan bantahan termasuklah beberapa isu lain,’’ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menerima kunjungan Duta Besar Amerika Syarikat, Kamala Shirin Lakhdir dan rombongan.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, mereka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa di dalam dan luar negara.

Ahmad Maslan seterusnya menambah Duta Amerika turut bertanyakan tentang politik semasa termasuklah hal Bajet 2021 serta pilihan raya umum (PRU) dan pelbagai perkara lain.

“Saya kira  usaha pertemuan seumpama ini patut diteruskan dan saya akan mencadangkan Presiden UMNO boleh bertemu dengan Duta negara-negara lain seperti negara-negara Islam, dan negara-negara lain seperti Jepun dan sebagainya lagi,” ujarnya.

Kamala diiringi Kaunselor Politiknya, Dan Cintron, Pegawai Politik, Bryn West dan  Sivabalan Manickam.

Di pihak UMNO Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, pengarah seranta, Datuk Ibrahim Yahaya, pegawai diplomatik Datuk Jailani Harun dan pegawai media, Datuk Fadzlette Merican. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.