Pembelajaran Dalam Talian: Pemuda UMNO Desak Kerajaan Tambah Peruntukan Untuk Murid Tiada Akses

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Pemuda UMNO  Malaysia hari ini mendesak agar kerajaan dapat menilai semula keperluan akses pembelajaran dalam talian dengan menyalurkan peruntukan tambahan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memastikan proses pembelajaran dalam talian berjalan lancar.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara berkenaan selaras dengan laporan media mengenai dapatan kajian KPM yang menunjukan 37% daripada lebih 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti bagi sesi pembelajaran dalam talian.

Menurut beliau angka tersebut bersamaan 1.7 juta pelajar yang tidak mempunyai sama ada telefon pintar, tablet atau komputer iaitu peranti yang menjadi pra-syarat untuk membolehkan mereka belajar dalam talian akibat penutupan sekolah sehingga Januari tahun hadapan.

‘’Belanjawan 2021 ada menyentuh secara langsung bantuan kepada kelompok pelajar terbabit melalui inisiatif GLC atau GLIC di bawah seliaan Yayasan Hasanah yang akan menyumbang RM150 juta kepada Dana Cerdik untuk memberi komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah perintis.

‘’Walaubagaimanapun, inisiatif Yayasan Hasanah itu hanya menampung tidak sampai 9% daripada 1.7 juta pelajar terbabit yang sebahagian besarnya adalah daripada kelompok B40 iaitu keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang RM4,800 sebulan,’’ katanya menerusi catatan di facebook.

Justeru, tegasnya sekali lagi pergerakan itu amat berharap  agar kerajaan dapat menilai semula keperluan ini dengan menambah peruntukan kepada KPM bagi memastikan 1.7 juta pelajar tidak dinafikan hak mendapat akses kepada pendidikan dalam suasana norma baharu pembelajaran dalam talian di kala pandemik COVID-19 hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.