“Kita Mesti Ada Gabungan Parti, Tidak Boleh Berpecah Untuk Bentuk Kerajaan” – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 23 Nov – “Kita tak boleh mendabik dada bahawa kita boleh ‘stand alone’, kita mesti ada gabungan parti-parti baru kita boleh memerintah dan orang Melayu tidak boleh berpecah jika kita nak membentuk kerajaan,” tegas Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ujarnya, dari segi realiti politik, Barisan Nasional (BN) masih lagi perlu mengharapkan parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk memberikan sokongan.

“Di Semanjung ada 165 kerusi, di Sarawak ada 31, dan di Sabah ada 25… jadi 165 di Semenanjung itu tentulah sukar untuk kita menang semua”, katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian menerusi program temubual portal online Owh!MG, malam tadi.

Pada masa yang sama beliau turut menekankan bahawa UMNO dan BN perlu berkuasa bagi mengubah nasib rakyat.

Katanya, dengan kuasa akan dapat diubah kehidupan rakyat melalui pelbagai agenda yang dilaksanakan melalui perancangan.

“Mengapa kita perlu berkuasa? Kita perlu mengubah nasib hidup rakyat dengan kuasa yang ada. Kita aturkan belanjawan saban tahun misalnya untuk memperbaiki kuasa luar bandar dan memodenkannya.

“Ia mampu beri kemahiran tinggi dan pengajian tinggi menyebabkan gaji tinggi untuk rakyat dan mewujudkan keusahawanan dan lebih ramai usahawan di negara dan lebih cepat maju negara itu, ini kajian yang dijalankan oleh pakar. Banyak perkara yang kita nak ubah”, ujarnya.

Beliau turut menekankan pentingnya matlamat dalam menyertai politik.

“Kita berpolitik untuk apa… bagi saya ABATA – agama, bangsa dan tanah air… itulah perjuangan UMNO dan BN juga. Jawatan dalam politik adalah untuk nak membenarkan kita membantu rakyat, membela rakyat, prihatin rakyat dan apa-apa yang kita lakukan mestilah berkait dengan rakyat

Dalam temubual tersebut, beliau turut menyebut berkaitan BN yang hilang tampuk pentadbiran pada Mei 2018.

“Ada empat sebab kenapa kita hilang kuasa, pertama adalah kerana fitnah yang dibuat oleh pembangkang termasuklah bagaimana mereka ‘spin’ GST iaitu satu percukaian yang terbaik kepada yang dibenci oleh rakyat, sebab kedua kerana Melayu berpecah begitu banyak iaitu Melayu UMNO, PAS, PKR, PAN, PPBM maka kalahlah parti utama.

“Sebab ketiga kerana ada empat juta Bumiputera tidak mendaftar sebagai pengundi yang patutnya ada puluhan ribu boleh mengundi. Bayangkan ada ratusan bumiputera yang mendaftar, kemungkinan keputusan akan jadi lain, dan sebab keempat adalah janji-janji manis atau janji-janji palsu Pakatan Harapan (PH) yang mempengaruhi rakyat,” katanya.

Beliau yang menyertai politik pada usia seawal 19 tahun dengan latarbelakang dari keluarga petani di kawasan kampung menekankan bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan rakyat.

“Dengan pendidikan kita mampu menukarkan kehidupan rakyat dalam satu generasi dan pendidikan adalah perkara yang terbaik dalam menyamaratakan masyarakat, misalnya saya anak penoreh mampu duduk bersama dengan anak Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib dan juga Datuk Seri Hishammuddin yang merupakan anak Perdana Menteri,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.