Sidang DUN Terengganu Wajar Kembali Seperti Jadual Asal – Tengku Haphiz

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Pemuda UMNO Terengganu memohon agar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu berjalan mengikut jadual asal tempoh persidangan Dun Kali Ketiga bagi penggal ini daripada 23 hingga 26 November supaya ianya dapat memberi ruang seluas-luasnya untuk setiap ahli – ahli berhormat menyampaikan pandangan masing-masing.

Ketuanya Tengku Haphiz Tengku Putera berkata langkah berkenaan selaras dengan tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ) pada 21 November yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekaligus memberi ruang yang lebih baik kepada wakil rakyat demi kepentingan bersama.

‘’Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu mengambil maklum bahawa keputusan pihak Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu memendekkan tempoh Persidangan Dun Kali Ketiga bagi penggal ini daripada 23 hingga 26 November kepada 23 hingga 24 November kerana Terengganu telah diwartakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ) baru-baru ini.

‘’Kenyataan rasmi yang diumumkan melalui media bahawa Terengganu telah ditamatkan pada 21 November oleh Menteri Kanan Pertahanan memberi kelegaan kepada seluruh rakyat. Pengumuman ini juga mewajarkan agar pihak YB Yang DiPertua DUN Terengganu untuk mengikut jadual asal tempoh mesyuarat bagi persidangan kali ini. Tempoh tiga hari perbahasan memberi ruang seluas-luasnya kepada ahli- ahli yang berhormat untuk berbahas, berunding dan membawa suara rakyat di dalam Bajet Terengganu 2021 sebelum diluluskan,’’ katanya menerusi catatan di facebook.

Tambah Tengku Haphiz lagi pergerakan itu juga  percaya, atas semangat misi Dun Terengganu iaitu memastikan pengurusan Dewan Undangan Negeri yang dinamik dalam menjayakan amalan demokrasi, hari yang lebih lama ini mampu menambah baik Bajet Terengganu 2021 yang pastinya berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda.

‘’Tambahan pula, menurut Peraturan-Peraturan  dan Perintah-Perintah  Tetap Dewan Undangan bagi Negeri Terengganu, YB Yang DiPertua Dewan memiliki kuasa untuk menentukan hari dan masa seperti tertakluk pada peraturan,’’ ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.