Tindakan Pembangkang Keluar Dewan Sekadar Gimik Tanpa Sebarang Justifikasi – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat tindakan  ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang dari blok pembangkang, yang bertindak keluar Dewan membantah Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2020 yang diluluskan dengan suara majoriti sekadar gimik politik.

Menurut beliau apa yang dilakukan oleh blok pembangkang itu tanpa mempunyai sebarang justifikasi demi kepentingan negeri dan rakyat.

‘’Walaupun merasa kesal dengan tingkah laku yang mencemar Dewan, ini saya anggap sebahagian daripada asam garam amalan demokrasi tetapi malanglah kerana selepas itu, mereka tidak lagi berada dalam Dewan untuk mengikuti pembentangan Rang Undang-undang Pentadbiran Undang-undang Islam (Pindaan) (no 2) 2020, kemudian diluluskan sebulat suara.

‘’Enakmen mengenai pelantikan Ahli Dewan Negeri (Dilantik) sebelum itu, bertujuan memberi kelonggaran kepada kerajaan negeri melantik tidak lebih lima (5) orang Ahli Dewan Negeri (Dilantik). Ini akan menjadikan keseluruhan Ahli Dewan Negeri tidak lebih 47 orang, termasuk 42 Ahli Dewan Negeri sedia ada,’’ katanya menerusi catatan di facebook.

Beliau seterusnya menegaskan enakmen ini telah melalui pelbagai peringkat kajian dan penelitian termasuk oleh Penasihat Undang-undang Negeri malah daripada segi perundangan, ia tidak melanggar Undang-undang Tubuh Negeri mahupun Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya  lagi enakmen yang hampir sama telah digunapakai oleh Dewan Undangan Negeri Sabah sejak berdekad lalu dan Terengganu turut mempunyai enakmen yang sama.

‘’Saya juga ingin menegaskan, kelulusan Enakmen ini tidak menghakis sebarang hak demokratik Ahli-ahli Dewan Negeri yang dipilih melalui pilihan raya. Ahli-ahli Dewan Negeri (Dilantik) juga tidak boleh menjadi Menteri Besar atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (Exco).

‘’Antara kebaikan enakmen ini, ia membolehkan Kerajaan Negeri melantik beberapa orang mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan untuk sama-sama memberi input kepada Dewan sama ada melalui perbahasan mahu pun di peringkat jawatankuasa.

‘’Saya berharap masyarakat dapat melihat kelulusan enakmen ini sebagai satu pandangan jauh dan komitmen kerajaan negeri untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat dan negeri,’’ ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.