Rakyat Perlukan KWSP… Jadi ‘Pelampung’ Untuk Bernafas Dalam Keadaan ‘Lemas’ – Zahida

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menekankan bahawa rakyat sekarang ini amat memerlukan bantuan segera dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi harapan sebagai ‘pelampung’ untuk bernafas dalam keadaan ‘lemas’ hari ini.

Tegasnya, inilah hakikat sebenar yang bukan cerita dongeng dan bukan hikayat merujuk kepada kisah tular berkaitan pramugari yang menjual nasi kukus di tepi jalan selepas hilang pekerjaan.

“Krisis COVID-19 yang melanda seluruh dunia beri kesan buruk kepada ekonomi rakyat, mengosongkan poket rakyat, tidak kira mereka daripada kumpulan B40, mahupun M40,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Ujarnya, seperti kisah pramugari ini, mungkin dianggap bernasib baik kerana masih mempunyai simpanan untuk dijadikan modal mula perniagaan selepas hilang kerja hakiki.

“Kasihani dan simpatilah terhadap mereka yang hilang pekerjaan, yang bekerja dibayar gaji harian, yang gaji dipotong hingga 50 peratus tetapi tidak punya simpanan cukup untuk mula berniaga kecil-kecilan bagi meneruskan kehidupan, menyara keluarga, membayar segala bil, membayar hutang kenderaan, hutang perumahan dan sebagainya.

“Itulah sebabnya rakyat amat perlukan bantuan segera, rakyat perlukan pengeluaran simpanan sendiri di KWSP, rakyat perlukan moratorium secara automatik sebagai ‘pelampung’ untuk mereka dapat bernafas di dalam keadaan ‘lemas’ hari ini.

“Jadi mana lagi tempat untuk mereka bergantung jika bukan bantuan daripada kerajaan?” soalnya lagi.

Terdahulu kerajaan telah meluluskan skim i-sinar yang akan membolehkan akaun 1 KWSP dikeluarkan namun malangnya ia tidak menyeluruh kerana hanya melibatkan dua juta pencarum sahaja sedangkan dilaporkan rakyat yang terkesan sehingga empat juta orang.

Selain itu skim i-Sinar dianggap menyusahkan kerana pelbagai syarat yang ditetapkan.

Antara syarat-syarat permohonan i-Sinar menjadi polemik hari ini yang antaranya hanya ahli yang diberhentikan kerja atau ditangguh bayaran gaji, ahli aktif KWSP dan juga hanya ahli yang tiada caruman dalam tempoh dua bulan semasa permohonan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.