‘Pak Long’ Mahu Yang Terbaik Untuk Semua… Dengar Suara Rakyat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 20 Nov – “Sebagai Menteri Kanan Keselamatan, saya dilantik menjadi jurucakap kerajaan mengenai perkara-perkara bukan berkaitan dengan kesihatan manakala Pengarah Kesihatan Tan Sri Hisham bercakap mengenai kesihatan. Itulah tujuan sidang media harian bagi memaklumkan perkembangan berkaitan COVID-19 kepada rakyat,” ujar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau yang juga merupakan Naib Presiden UMNO, setiap keputusan pula adalah berdasarkan nasihat dari Kementerian Kesihatan berdasarkan penilaian risiko mereka dan sebagai contoh untuk isytiharkan PKPP dan PKPB.

“Sejak pandemik COVID-19 melanda negara iaitu pada 23 Januari 2020 sehinggalah hari ini, kita mula menjalani kehidupan secara norma baharu. Walaupun pada mulanya ia agak sukar namun kini ia telah menjadi satu keterbiasaan.

“… dan saya sebagai jurucakap kerajaan, menjadi tempat untuk netizen melepaskan perasaan mereka. Saya tahu ramai netizen yang marahkan saya… saya memahami perasaan mereka. Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik dengan mendengar suara mereka dan membawa suara mereka ini ke mesyuarat khas MKN.

“Percayalah, Pak Long mahu yang terbaik untuk semua, sebagaimana Pak Long mahu yang terbaik untuk keluarga Pak Long, begitu juga Pak Long mahu yang terbaik untuk orang ramai. Pak Long sayang semua,” ujar beliau menerusi catatan di blog peribadinya.

Menurut Ismail, setiap keputusan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai COVID-19 serta sidang khas MKN akan beliau laporkan secara harian dalam sidang media harian.

“Jadi, setiap laporan harian saya adalah berdasarkan keputusan mesyuarat yang dihadiri oleh sebahagian besar menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan. Bukan saya yang buat keputusan,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, setiap kali sidang media harian diadakan, ruang komen akan dibanjiri dengan pelbagai pandangan daripada netizen dan tidak kurang memberikan komen negatif.

Ramai tersalah anggap yang merasakan semua keputusan boleh diputuskan oleh Ismail Sabri sebagai Menteri Kanan.

Antara isu yang sering dilemparkan diruangan komen adalah berkaitan KWSP, masalah kehidupan dan penutupan masjid yang sebenarnya terletak dalam tanggungjawab kerajaan negeri. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.