Jangan Rakyat Diperlecehkan Waktu Susah… Berilah Keutamaan – Norliza

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Jangan rakyat diperlecehkan pada waktu susah payah kerana ramai di luar sana terutama M40 yang terjejas teruk, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Beliau berkata demikian dengan menyokong sepenuhnya perbahasan Belanjawan 2021 oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat semalam yang menekankan soal rakyat hendaklah diberi keutamaan terlebih dahulu.

Kata Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, sudah tentu perkara yang dibawa perlu diteliti, diperhalusi dan ditambah nilai kepada kumpulan sasar.

“Setiap sen harus dinikmati semua orang dalam keadaan kesukaran sekarang. Ramai yang susah dan payah, maka kerajaan sekarang perlu jua merasai kesusahan yang dihadapi rakyat.

“Saya percaya kerajaan memahaminya dan kita rakyat menaruh harapan dan yakin. Setiap belanjawan itu ada budinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, hasil pembentangan Belanjawan 2021 yang lalu beliau yakin perbelanjaan kewangan yang akan diagihkan itu pastinya berbudi kepada rakyat yang memerlukan.

“Moga Allah swt merahmati kita semua. Dalam keadaan normal baharu, keberanian ekonomi untuk melakukan sesuatu yang luar biasa dituntut bagi menghasilkan impak keberkesanan yang sangat membantu kepada setiap golongan bersasar.”

Sebagai contoh, jelasnya, kumpulan Perusahaan Kecil dan Sederhana hendaklah dipermudahkan segala bantuan bagi memulihkan perniagaan mereka secara drastik dan pihak pemberi atau penyedia seperti agensi kerajaan dan institusi kewangan perlu lebih turun ke bawah secara khusus dan tidak hanya duduk di pejabat sahaja.

“Saya sangat setuju dengan syor Pengerusi BN yang menyentuh kelompok penyewa premis perniagaan, pengusaha bas sekolah dan bas pelancongan, kesukaran M40 yang hilang pekerjaan dalam pencarian pekerjaan baharu serta yuran pelajar IPTA dan IPTS yang perlu diberikan perhatian serius,” katanya lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.