Bajet 2021: Jangan Memandai Tuduh sokongan “Bajet Bersyarat” BN Mengkhianati Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Semalam dalam perbahasan Bajet 2021 di Dewan Rakyat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyebut bahawa dalam politik harus ada kejujuran, baik sebagai rakan kongsi atau atas nama dukungan sama ada secara piagam atau perjanjian persefahaman, bertulis atau konvensyen dan secara tersurat dan tersirat.

Justeru Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan agar jangan memandai tuduh sokongan “Bajet Bersyarat” Barisan Nasional (BN) adalah pengkhianat kerana syarat itu adalah untuk kelangsungan rakyat dan bukan untuk berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang.

Ini kerana katanya, sebenarnya yang mengkhianati rakyat adalah yang ego dan tidak mahu mendengar rintihan rakyat pada saat paling sukar.

“Saya mahu mengulangi dua perkara penting di penghujung ucapan Bajet oleh Zahid Hamidi Presiden UMNO di Parlimen semalam. Pertama mengenai kejujuran politik. Saya pernah mengulasnya di fb saya bertarikh 1 Nov 2020, tetapi Zahid menyusunnya dengan ungkapan yang tajam dan tepat.

“Semoga siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya. Hentikan politik tikam belakang. Sebab itu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti didukung oleh konsensus parti secara bertulis,” katanya menerusi facebooknya hari ini.

Kedua, kata Dr Puad lagi, Zahid menekankan perlunya kestabilan politik maka barulah kelangsungan rakyat dapat diutamakan.

“Jujurlah katanya kerana rakyat mahu yang terbaik untuk mereka. Kerajaan majoriti lemah menyukarkan usaha ke arah itu.

“Justeru Zahid menyarankan usul percaya atau sebaliknya hendak diuji di Dewan Rakyat. Baginya, kerajaan perlu menjadikan usul percaya itu sebagai urusan kerajaan dan usul itu mesti diletak disenarai atas urusan kerajaan.

“Apakah PM berani dan gentleman? Ya, jika ada ‘kejujuran politik’, sebab itu tegas Zahid proklamasi darurat di seluruh negara atas alasan apa sekalipun wajib ditolak. Cukup jelas pendirian UMNO mengenai darurat,” tegasnya lagi.

Menerusi ucapan perbahasan semalam, Zahid yang juga Pengerusi BN menekankan bahawa penterjemahan terhadap kejujuran bukan hanya sekadar persetujuan lisan tetapi pelaksanaannya dan tidak timbul siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi, namun bagaimana kebersamaan diterjemahkan.

Tegas Zahid lagi, muslihat politik hendaklah diketepikan dan apabila kejujuran politik diberi keutamaan, “jangan ada telunjuk lurus kelingking berkait”.

Akhirnya Zahid membuat kesimpulan penting iaitu suara rakyat adalah suara keramat kerana dari rakyat diberi mandat maka kepada rakyat serahkan mandat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.