Selamilah Permasalahan Rakyat… Kerajaan, KWSP Perlu Longgarkan Syarat Skim I-Sinar

JEMPOL, 19 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menggesa kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempertimbangkan semula syarat-syarat bagi Skim i-Sinar.

Kata Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, ini supaya semua pencarum KWSP dapat membuat pengeluaran wang yang kini berada dalam keadaan terdesak.

“Hairan, mengapa KWSP begitu susah untuk membenarkan pencarumnya mengeluarkan duit. Ingat, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang prihatin, maka agensi di bawahnya juga perlu prihatin dan sensitif kepada permasalahan rakyat.

“Selamilah permasalahan rakyat. Jangan terlalu ego dan sombong. Mungkin pengurusan KWSP tidak merasa kesusahan hari ini kerana sedang menikmati kemewahan kerusi empuk dengan hidangan makanan mewah setiap hari.

“Tetapi, ketahuilah, ada rakyat yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Lebih teruk ada juga yang terpaksa tidur beralaskan tanah dan beratapkan langit,” katanya dalam satu kenyataan.

Ulas Mohd Zaidy juga, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan turut mengucapkan terima kasih kepada KWSP kerana menerima cadangan daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membenarkan pengeluaran wang dari Akaun Satu sebanyak RM10,000.

“Keputusan ini sememangnya merupakan sesuatu yang melegakan apatah lagi dalam tempoh ini rakyat sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi akibat daripada penularan wabak COVID-19.

“Bagaimanapun, yang merungsingkan adalah syarat-syarat pengeluaran yang begitu ketat hingga dilihat seolah-olah sengaja menyusahkan rakyat untuk melakukan pengeluaran tersebut.

“Walhal, hasrat cadangan supaya membenarkan pengeluaran Akaun Satu KWSP itu adalah bertujuan untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

Atas sebab itu tambahnya, KWSP diharapkan dapat mempertimbangkan semula syarat-syarat pengeluaran Skim I-Sinar itu kerana ketika ini semua rakyat tidak kira latar belakang ekonomi semuanya terjejas.

“Maka, kerana itulah KWSP perlu ada sikap perikemanusiaan dengan memberi kelonggaran kepada syarat-syarat pengeluarannya. Jangan pula menyusahkan kerana rakyat sememangnya kini sedang susah!

“Antara syarat yang perlu diberi perhatian adalah pengeluaran melibatkan pencarum yang tidak lagi mencarum bagi tempoh Mac 2019 hingga Februari 2020. KWSP seharusnya sensitif dalam keadaan sekarang.

“Sudah pasti, mereka yang tidak mencarum dalam tempoh ini berkemungkinan hilang pekerjaan dan kini terdesak memerlukan wang untuk menyara keluarga,” katanya.

Maka, pertimbangkanlah, gesanya lagi. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.