KWSP Perlu Untuk Bantu Rakyat, Bukan Letak Syarat Menyusahkan – Noshrullah

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bangi, Mohd Noshrullah Mohd Zabidi mengharapkan agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Sinar dapat meluluskan akaun 1 untuk rakyat tanpa bersyarat.

Katanya, dalam keadaan norma baharu ini kos perbelanjaan harian semakin meningkat dan tabungan yang ada mungkin sudah digunakan malah semakin berkurangan.

“Jadi KWSP perlu ikhlas dalam niat untuk membantu rakyat. Janganlah letak pelbagai syarat yang mungkin menyusahkan dan membebankan rakyat. Letakkan diri kita dalam keadaan mereka, yang pada ketika ini amat sangat memerlukan.

“Ini seolah-olah pihak KWSP bermain politik dalam isu pengeluaran akaun 1 ini. Kita mencadangkan satu jumlah yang rasional buat semua rakyat, tapi KWSP menawarkan pengeluaran maksimum RM60K melalui beberapa syarat yang dilihat seolah olah tidak ‘cakna’ dengan keperitan rakyat,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Menurut Noshrullah lagi, semua rakyat merasa kesusahan dalam situasi pandemik ini dan mempunyai tanggungan bebanan yang berbeza-beza dalam meneruskan kelangsungan kehidupan individu mahupun yang berkeluarga.

“Tepuk dada tanya iman… semoga KWSP mempertimbangkan semula cadangan UMNO dan BNBBC demi memahami kehendak rakyat, masalah rakyat dan juga kesengsaraan rakyat pada masa kini,” katanya.

Soalnya lagi, adakah KWSP ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Kumpulkan Wang Sukarkan Pekerja? – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.