KWSP: Berilah Kelonggaran Tanpa Syarat Menyusahkan… – Arief Said

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Naib Ketua Pemuda UMNO Ampang, Arief Said mengharapkan agar kerajaan Persekutuan dapat memberikan kelonggaran kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa mengenakan syarat-syarat yang menyusahkannya berhubung Skim i-Sinar.

Katanya, rakyat mahukan keadilan kepada pencarum dan bukannya memilih serta menetapkan syarat-syarat walhal pencarum harus merasai hasil keringat mereka.

“Kenapa KWSP memberikan syarat-syarat kepada pencarum sedangkan mereka sangat-sangat memerlukan di masa pandemik COVID-19. Inilah masa terbaik bagi KWSP menonjolkan keperluan simpanan setiap pencarum yang mana ia dapat dikeluarkan pada saat genting dan bukan menunggu masa hari tua nanti.

“Janganlah memilih bulu sedangkan ramai pencarum yang memerlukan pengeluaran wang akaun 1 KWSP. Berlakulah adil wahai KWSP, agar pencarum dapat menikmati hasil wang tersebut, sedangkan wang ini adalah hasil keringat titik peluh pencarum sewaktu mereka mencari pendapatan.

“Luaskanlah kuasa pencarum, janganlah i-Sinar ini akan menjadi ‘i-Die’. Jangan dicicirkan golongan ‘underemployed’ ia perlu diambil kira juga,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Tambah Arief lagi, pengeluaran ‘one off’ ini juga dapat membantu pencarum untuk merancang keperluan menyediakan ‘payung yang lebih besar’ bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi tahun 2021

“Biarkan lebih banyak dana mengalir ke kitaran wang ekonomi tempatan sebab bajet tahun 2021 hanya 2.5 peratus lebih tinggi berbanding bajet tahun 2019 yang tiada krisis COVID-19. Di saat getir ini, kekuatan ekonomi patut dibina dan dikukuhkan melalui perbelanjaan domestik.

“Bagaimana suri rumah yang telah lama berhenti kerja dan memerlukan wang tersebut, malah pemandu-pemandu grab, peniaga -peniaga kecil, pekerja yang dipotong gaji, diberhentikan kerja dan sebagainya,” ujarnya.

Jikalau pencarum yang diberhentikan kerja atau pencarum yang meninggal dunia selepas mendapat pengeluaran akaun I pada awal tahun hadapan bagaimana mereka hendak menggantikan wang RM 10, 000 yang didapatinya, soalnya.

“Mohon KWSP agar dapat mempertimbangkan kelonggaran bagi pengeluaran RM10,000 dari akaun pencarum. Yakinlah… jika tiada pandemik ini, tiadalah kelu resah dari rakyat semua,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.