Bajet Pahang Bukti Kerajaan Cakna, Prihatin Soal Masa Depan – Fadzli

KUANTAN, 19 Nov – Pemuda Barisan Nasional (BN) Pahang mengalu-alukan pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2021 oleh YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda BN Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, belanjawan ini dirangka kemas dengan mengambil kira keperluan semua lapisan rakyat termasuk golongan muda yang menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang cukup cakna dan prihatin soal masa depan dan kehendak orang muda.

“Pemuda BN Pahang mengenal pasti terdapat 10 inisiatif utama dalam Belanjawan Negeri Pahang 2021 yang berkaitan dengan anak muda,” katanya dalam kenyataan berkaitan, hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap golongan anak muda dan belia di seluruh Pahang mengambil bahagian serta merebut peluang yang ditawarkan dalam Belanjawan kali ini.

Inisiatif tersebut ialah:

1. Dana khas RM10 juta sebagai bantuan awal pengembangan perniagaan khusus untuk golongan muda.

2. RM5.5 juta untuk sektor pertanian khusus membantu lebih ramai golongan muda dan B40 menerima insentif teknologi pertanian.

3. 5,000 peluang pekerjaan baru melalui pelaburan masuk asing dan tempatan ke Pahang.

4. Menyediakan medium pemasaran secara dalam talian (e-dagang) serta skim latihan untuk graduan baru dan usahawan sedia ada.

5. RM500,000 kepada Majlis Belia Negeri Pahang dan Majlis Belia Daerah untuk pembangunan belia yang komprehensif.

6. Memperhebat pembinaan rumah mampu milik khususnya rumah PRIMA Pahang, Rumah Makmur dan Rumah Rakyat Pahang.

7. Kebenaran melaksanakan aktiviti perniagaan di mana-mana lokasi sesuai bagi membantu peniaga yang terkesan ekoran COVID-19.

8. RM200 kepada setiap pasangan yang berkahwin kali pertama.

9. RM520,000 kepada 52 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti bagi pelaksanaan latihan dan pemulihan kepada OKU.

10. RM2.1 juta untuk pengurusan masyarakat orang asli termasuk bagi pembangunan belia golongan tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.