Rayuan Pemuda UMNO Negeri Pahang Kepada KWSP

TULISAN ini merujuk kepada kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang telah meminta agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak terlalu rigid dalam membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka untuk digunakan bagi menampung kehilangan pendapatan akibat suasana ekonomi yang tidak menentu hari ini.

Ada segelintir mendakwa pemuda seolah-olah seperti ‘mengharapkan betis selepas peha diberi’ serta tidak puas selepas sebahagian tuntutan Barisan Nasional (BN) dipenuhi oleh KWSP dan pihak kerajaan.

Terdengar juga suara yang menuduh ini adalah agenda Pemuda UMNO untuk menjatuhkan kerajaan hari ini.

Bukan itu maksud kami, untuk kelonggaran yang diberi, kami ucapkan terima kasih.

Namun Pemuda masih berpegang kepada cadangan awal yang telah diutarakan oleh Barisan Nasional di Dewan Rakyat kerana melihat dan mendengar masih ramai individu yang terkesan tidak menerima faedah ini sekiranya mereka perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh KWSP.

Salah satu syarat adalah pengeluaran ini hanya dibenarkan kepada ahli yang masih aktif (mempunyai sekurang-kurangnya 1 bulan caruman mulai Mac 2019 – Febuari 2020), serta tiada caruman dalam tempoh 2 bulan permohonan (bermaksud baru diberhentikan kerja atau ditangguh bayaran gaji)

Antara hujah yang diberikan Pemuda adalah bagaimana dengan mereka yang telah mencarum bertahun dahulu tetapi kini tidak lagi bekerja atas sebab-sebab tertentu.

Sebagai contoh, golongan wanita bergelar ibu atau isteri yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja beberapa tahun lalu atas komitmen mengurus anak-anak atau individu yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ibu bapa yang uzur.

Bagi golongan ini, sekiranya pengeluaran dibenarkan secara pukal kepada semua pencarum, sedikit sebanyak wang simpanan mereka ini mampu membantu meringankan beban suami yang mungkin kehilangan pekerjaan, tidak lagi dibenarkan membuat kerja lebih masa (overtime) atau keluarga yang telah putus pendapatan.

Ingatlah mereka ini mungkin telah bertahun-tahun meninggalkan alam pekerjaan demi menguruskan anak-anak yang masih kecil ataupun menjaga ibubapa yang uzur.

Nasib mereka ini juga perlu dibela dan jumlah mereka juga agak besar. Bagi yang menjaga ibubapa, terdapat kemungkinan adik-beradik yang selama ini menghulurkan wang belanja bulanan tidak lagi mampu berbuat demikian kerana mereka juga dilanda masalah kewangan.

Begitu juga Pemuda melihat, sekiranya lebih ramai penerima dibenarkan mengeluarkan caruman Akaun 1 mereka, sedikit sebanyak ia mampu merancakkan semula ekonomi tempatan yang kini lesu.

Di waktu sukar seperti hari ini, akan wujud lebih ramai Makcik Kiah, Uncle Kuan Yew mahupun Mr. Loganathan yang menceburi bidang perniagaan kecil-kecilan kerana hilang pekerjaan tetap, namun persoalannya, siapa pula yang akan membeli produk atau mendapatkan perkhidmatan mereka jika masih ramai yang tidak berduit?

Di sinilah wang simpanan KWSP pencarum mampu membantu memulih kitaran ekonomi. Kami yakin bukan semua akan menggunakannya untuk modal memulakan perniagaan, ramai juga yang akan membelanjakan wang ini ke dalam pasaran, sekaligus membantu pula golongan peniaga di seluruh negara.

Untuk contoh-contoh yang diberi, Pemuda UMNO Negeri Pahang merayu belas ihsan dan budi baik Kerajaan serta KWSP untuk mempertimbangkan permohonan rakyat ini. – UMNO ONLINE

Mohd Farid Mohd Nor
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.