Selain ‘Pelampung’ Dari KWSP, Kerajaan Perlu Segera Laksana MySTEP Dan JanaKerja – Shahril

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata di samping ‘pelampung’ dari dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerajaan perlu memastikan jaminan MySTEP dan JanaKerja yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 dijalankan segera.

Ini kerana katanya untuk mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya dalam kalangan anak muda.

“Pelaksanaan bantuan tunai seperti Prihatin dan sebagainya mesti juga dipastikan berjalan lancar dan segera. Jumlah bantuan juga wajar disemak dari semasa ke semasa setelah beberapa bulan.

“Jangan jadikan kemudahan ini sebagai ‘alasan atau ‘distraction’ untuk tidak melihat usaha lain yang lebih komprehensif,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Lewat petang semalam, KWSP dalam satu kenyataan memperkenalkan kemudahan akses simpanan Akaun 1, i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan bersandarkan kepada beberapa kategori dan syarat seperti bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 bawah RM90,000 dan melebihi amaun tersebut.

Justeru, bagi memudahkan kefahaman masyarakat, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut menjelaskan perkara tersebut seperti berikut:

A) Jumlah

1. Untuk yang ada simpanan kurang RM90,000. Boleh keluarkan maksimum RM9,000 dan mesti ada baki minima RM100 selepas pengeluaran.

2. Untuk yang ada simpanan lebih RM90,000. Boleh keluar 10% dari simpanan; maksimum RM60,000.

Bermakna;

3. Segmen simpanan rendah dan sederhana:

– Jika simpanan RM1,000. Boleh keluarkan RM900 sahaja.
– Jika simpanan RM5,000. Boleh keluarkan RM4,900 (wajib tinggalkan baki RM100).

– Jika simpanan RM50,000. Boleh keluarkan RM9,000 (sebab pengeluaran maksima RM9,000).

4. Segmen T20 / pendapatan tinggi sebelum ini:

– Jika simpanan RM200,000. Boleh keluarkan RM20,000 (sebab had 10%).

– Jika simpanan RM800,000. Boleh keluarkan RM60,000 (sebab pengeluaran maksima RM60,000).

B) Tempoh

– Bukan ‘one-off’. Berkala selama 6 bulan.

– Boleh memohon bermula bulan hadapan (Disember) dan amaun akan masuk akaun bank pada hujung Januari 2021.

C) Syarat kelayakan

Golongan yang kehilangan pekerjaan, diarahkan bercuti tanpa gaji atau tiada pendapatan.

D) Implikasi bagi yang membuat pengeluaran

Tidak perlu bayar lebih kelak. Cuma kalau sebelum ini 70% caruman ke Akaun 1 dan 30% ke Akaun 2, selepas ini 100% ke Akaun 1 sehingga simpanan kembali ke asal.

Untuk khidmat nasihat tentang kaedah mengurus dan jumlah yang wajar dikeluarkan mengikut kes masing-masing bagi memelihara kelangsungan hidup sewaktu krisis ini serta sewaktu persaraan kelak, boleh hubungi Pegawai Khidmat Nasihat KWSP atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), jika mahu.

Dalam perkembangan yang sama, Shahril juga berkata secara kasarnya i-Sinar tidak memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Pelaburan KWSP dan dividen pencarum mungkin terkesan tetapi barangkali itu bukan keutamaan rakyat saat ini.

“Lebih mustahak, bergantung kepada simpanan masing-masing (32% pencarum ada amaun simpanan bawah RM1,000, 42% pencarum kurang RM5,000), kemudahan ini mungkin masih tidak mencukupi bagi golongan yang paling berisiko,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.