Jangan Terlalu Rigid, KWSP Wajar Longgarkan Syarat – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO mengharapkan ihsan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memperlonggarkan syarat agar mengambil kira juga rakyat yang ketika ini benar-benar sengsara akibat kekangan punca pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ujar Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ramai yang mengadu kepada pihaknya termasuk yang menghantar mesej kepadanya secara peribadi perihal syarat-syarat yang dikenakan oleh KWSP bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat daripada pengeluaran wang mereka melalui Skim i-Sinar yang diumumkan semalam.

“Melihat kepada ringkasan syarat permohonan i-Sinar yang dihantar kepada salah seorang pengadu, nampaknya semacam KWSP begitu rigid dan ketat dalam meletakkan syarat pengeluaran Akaun 1 pencarum.

“Ramai yang terjejas teruk punca pendapatan tetapi tidak berada dalam kategori diberhentikan kerja atau ditangguh bayaran gaji,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Malah tambah Dr Asyraf, ramai juga yang menjadi pencarum selama puluhan tahun tetapi sudah tidak mencarum dalam tempoh Mac 2019 hingga Februari 2020 sebagaimana yang disyaratkan.

“Namun, hakikatnya mereka tetap berdepan dengan isu kelangsungan hidup akibat terjejas teruk sumber pendapatan lantaran kerugian perniagaan disebabkan pandemik.

“Kes-kes seperti ini adalah sebahagian sahaja daripada pelbagai kesengsaraan rakyat yang susah dan mengharapkan untuk mengeluarkan wang simpanan mereka daripada KWSP secara sekaligus untuk menyelesaikan banyak perbelanjaan dan komitmen yang tertunggak,” katanya lagi.

Semalam, KWSP dalam satu kenyataan memperkenalkan kemudahan akses simpanan Akaun 1, i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan bersandarkan kepada beberapa kategori dan syarat seperti bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 bawah RM90,000 dan melebihi amaun tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.