Jangan Terlalu Bersyarat… Najib Tak Mahu Skim I-Sinar Jadi I-Die

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak terlalu bersyarat mengenai Skim i-Sinar kerana tidak mahu ia menjadi skim ‘i-Die’ bagi golongan yang tidak layak hanya disebabkan mereka tidak hilang kerja walaupun sudah amat terdesak setelah pendapatan mereka turun akibat COVID-19.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, jangan sampai ramai yang sengaja berhenti kerja atau sengaja dibuang kerja semata-mata kerana mereka mahu layak untuk memohon Skim i-Sinar.

“KWSP perlu faham bahawa kita tidak boleh sasar kepada mereka yang hilang kerja sahaja (unemployed) tetapi golongan paling besar ialah mereka yang pendapatan bulanan mereka berkurang akibat gaji dipotong, ‘service points’ / komisyen berkurang dan jumlah hari bekerja atau OT (kerja lebih masa) dipotong (underemployed).

“Dengan ini, saya minta KWSP memperluaskan Skim i-Sinar kepada golongan yang pendapatannya telah turun mendadak akibat COVID dengan membuka Skim i-Sinar kepada sesiapa yang mengaku pendapatan bulanan mereka telah turun 20% atau lebih akibat COVID.

“Golongan ‘underemployed’ perlu diambil kira juga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Najib yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) turut mengucapkan terima kasih kepada KWSP kerana mewujudkan Skim i-Sinar yang membenarkan pencarum mengeluarkan duit dari Akaun 1 mereka.

“Namun, syarat kelayakan untuk skim ini hanya untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau sudah tiada sumber pendapatan.

“Sebab itu KWSP menganggarkan hanya 2 juta ahli sahaja akan menerima manfaat dari Skim i-Sinar dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM14 bilion.

“Ini berbeza dengan anggaran saya di mana 4.7 juta ahli akan mengeluarkan jumlah sehingga maksima RM47 bilion, namun bukan semua ahli akan mengeluarkan RM10,000,” tambahnya lagi.

Lewat petang semalam, KWSP dalam satu kenyataan memperkenalkan kemudahan akses simpanan Akaun 1, i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan bersandarkan kepada beberapa kategori dan syarat seperti bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 bawah RM90,000 dan melebihi amaun tersebut.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan Persekutuan agar pembayaran sekaligus diberikan kepada pencarum KWSP berbanding secara berperingkat dan melanjutkan moratorium secara automatik secara pukal sehingga Jun tahun hadapan bagi membantu rakyat mendepani kesukaran hidup akibat pandemik COVID-19. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.