Belanjawan 2021, KWSP Dan Moratorium Terus Jadi Bahan Polemik

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terus menjadi tumpuan masyarakat umum baik kalangan pimpinan parti politik mahu pun kalangan pelbagai peringkat kumpulan yang lain termasuklah soal moratorium serta pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Exco Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang turut memperkatakan soal berkenaan turut melihat bahawa Belanjawan 2021 tidak bersifat inklusif seperti yang didakwa apabila membangkitkan peruntukan untuk golongan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terjejas.

Pada masa yang sama beliau turut mempersoalkan apakah kenyataan menteri kewangan merupakan satu ugutan terhadap Ahli Parlimen yang tidak menyokong atau menyokong secara bersyarat Belanjawan 2021 ini.

‘’Menteri Kewangan cakap kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan jika Belanjawan 2021 tidak lulus.

“Adakah ini satu ugutan kepada Ahli Parlimen yang tidak menyokong atau menyokong secara bersyarat Belanjawan 2021 ini,’’ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata Najmil lagi Barisan Nasional (BN) bertegas menuntut kerajaan meneruskan pemberian moratorium pinjaman secara automatik dan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.

‘’Tidak perlu melibatkan rakyat khususnya penjawat awam serta ‘frontliners’ dalam masalah ini. Jika Belanjawan ini tidak lulus ianya adalah kegagalan kerajaan PN yang dipimpin PPBM. Belanjawan ini pada saya perlu dipelbagaikan lagi serta terdapat perkara yang perlu diperhalusi untuk memastikan tiada golongan yang ketinggalan.

‘’Tidak perlu mengheret rakyat dalam masalah ini. Tugas kerajaan sepatutnya membela rakyat terutama sekali waktu seperti ini,’’ ujarnya.

Sebelum ini menurut laporan, Tengku Zafrul dilaporkan berkata Kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi COVID-19 sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun beliau optimis belanjawan melibatkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang memfokuskan kepada usaha membantu rakyat dan pemulihan perniagaan serta ekonomi negara itu akan diluluskan. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.