Apa Salahnya Kerajaan Bantu Rakyat Tengah Kesempitan…

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Sekarang ini rakyat benar-benar resah dan gelisah dengan keadaan pandemik COVID-19 apatah lagi ia membabitkan kehidupan seharian mereka terutama himpitan kos sara hidup, ujar Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bangi, Mohd Nasrullah Mohd Zabidi. 

Katanya, apa yang disuarakan oleh Barisan Nasional (BN) terutama berkenaan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ‘one-off’ dan lanjutan moratorium adalah sangat tepat oleh kerana semua rakyat kini terkesan.

“Ini adalah sangat tepat… kita memahami denyut nadi rakyat. Kita memahami kehendak rakyat. Kita memahami kesusahan rakyat. Kita memahami kesengsaraan rakyat. Kalau kita merasakan kesengsaraan dan kesusahan rakyat, harus kita bersama-sama berjuang demi rakyat.

“…dan rakyat ini bukannya yang mengundi B40 saja tetapi kesemua rakyat adalah amanah yang perlu dijaga. Kita melihat keperluan Akaun 1 KWSP dan moratorium bukan saja kepada B40 dan M40, malah T20 pun terlibat terkesan akibat wabak ini.

“Saya menyokong penuh yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta dengan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam memastikan bahawa rakyat hidup dalam keadaan sejahtera,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Syaiful Arief Syah Mohamed Said berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan pengeluaran RM10,000 secara sekaligus serta lanjutan moratorium kepada rakyat.

“Kerajaan sewajarnya mempertimbangkan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara ‘one-off’ sebanyak RM10,000 di samping I-Lestari yang secara bulanan sebanyak RM500. Kita juga perlukan lanjutan moratorium supaya rakyat dapat membuat simpanan untuk ketidaktentuan yang akan dihadapi pada tahun-tahun kehadapan.

“Dalam keadaan norma baru, perbelanjaan isi rumah sudah melebihi dengan kos perbelanjaan yang kebiasaan. Seperti contoh pembelian pelitup muka, sanitasi dan lain-lain, keperluan sekarang ini terkesan pada semua dan bukan sekadar B40, M40 malah juga T20 juga terlibat terkena kesan tersebut,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, menurut Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor, Omar Al-Khattab Kassim menyatakan sokongan penuh keputusan yang dibuat oleh parti.

“Saya sangat setuju dengan pandangan yang diberikan oleh Presiden UMNO, Ketua Pemuda dan juga Pengerusi BNBBC mengenai lanjutan moratorium dan Akaun 1 KWSP, RM10,000 secara ‘one off’ untuk memudahkan rakyat berbelanja dan menjana ekonomi rakyat serta negara.

“Moratorium tambahan itu teramat diperlukan memandangkan rakyat sangat terkesan dengan beban yang ditanggung,” ujarnya.

Terkini, lewat petang semalam, KWSP dalam satu kenyataan memperkenalkan kemudahan akses simpanan Akaun 1, i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan.

KWSP berkata bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 bawah RM90,000, mereka mempunyai akses amaun pendahuluan sehingga RM9,000.

Bagi mereka yang mempunyai simpanan persaraan dalam Akaun 1 melebihi RM90,000, akses pendahuluan yang diberi adalah 10 peratus bagaimanapun amaun simpanan yang boleh didahulukan adalah RM60,000.

Amaun pendahuluan ini, akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000 (simpanan bawah RM90,000) atau RM10,000 (simpanan atas RM90,000).

Terdahulu, BN menggesa kerajaan Persekutuan agar pembayaran sekaligus diberikan kepada pencarum KWSP berbanding secara berperingkat dan lanjutan moratorium. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.